LIMA pasukan dalam Liga Malaysia (Liga-M) akan dikenakan hukuman pemotongan mata berikutan kegagalan melunaskan tunggakan gaji kepada pemain masing-masing sejak beberapa bulan lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP), Kevin Ramalingam berkata, FMLLP  akan menghantar surat berhubung pemotongan mata itu hari ini kepada pasukan terbabit selepas  tempoh secukupnya diberikan kepada pasukan berkenaan untuk melangsaikan tunggakan gaji itu.

“Kita tidak mengumumkan nama kelima-lima pasukan berkenaan kerana tiada tindakan diambil.

“(Namun) setelah surat berkenaan dikeluarkan esok (hari ini), kita akan buat pengumuman,” katanya.

Mengulas lanjut, Ramalingam menegaskan bahawa pihaknya terpaksa melakukan pemotongan mata  kepada  pasukan  terlibat  yang  dilihat masih gagal menangani isu tunggakan gaji sejak beberapa musim lalu.

“Saya rasa selagi sesuatu tindakan tidak dibuat dengan tegas, maka isu-isu yang melanda Liga Malaysia tidak akan ada penyelesaiannya.

“Saya berharap bahawa penyokong dan setiap pasukan yang terlibat memahami bahawa bola sepak Malaysia perlu melangkah ke hadapan,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengesahkan Stadium Shah Alam dipilih sebagai venue final Piala FA  edisi ke-28 yang bakal berlangsung pada 20 Mei depan.

Menurutnya, walaupun terdapat beberapa cadangan untuk  membawa final Piala FA di luar Lembah Klang namun ia tidak fleksibel selepas pihaknya mempertimbangkan beberapa faktor termasuk fasiliti di stadium berkenaan.

Dalam pada itu, Ramalingam memaklumkan perlawanan akhir kali ini bakal menjanjikan kelainan dengan lebih berfokuskan kepada konsep kekeluargaan selain kawalan keselamatan termasuk penjualan tiket palsu dipertingkatkan bagi mengelak penyokong yang tidak berkenaan daripada memasuki stadium.

Katanya, isu penjualan tiket palsu sentiasa wujud menjelang aksi final sesebuah pertandingan memandangkan tiket mendapat permintaan tinggi daripada penyokong yang gagal memasuki stadium disebabkan kehabisan tiket.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TINDAKAN Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menaikkan kuota import kepada lima pemain bakal memberikan kelebihan kepada pasukan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh.
  • PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dijangka akan menerima keputusan rayuan lima pasukan Liga Super yang gagal mendapatkan kelulusan lesen kelab Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dalam masa terdekat.
  • PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) membidas bekas pemain kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail yang menyalahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai punca kemerosotan prestasi skuad kebangsaan ketika ini.
  • FOOTBALL Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) akan menyerahkan laporan daripada pihak berkuasa berhubung insiden kekecohan selepas aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Perak dan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Ipoh, semalam, kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk tindakan susulan.
  • PENASIHAT Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa mendakwa Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sengaja mahu melihat Kelantan turun pangkat beraksi dalam kancah Liga Perdana.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.