TIGA daripada sembilan permohonan pasukan Liga Premier untuk mendapatkan lesen kebangsaan diluluskan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi membolehkan mereka beraksi dalam Liga Super 2019, sekiranya layak.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Michael Ramalingam berkata, tiga pasukan tersebut ialah  juara Liga Premier 2018, Felda United FC dan UiTM FC manakala MIFA berjaya mendapatkan lesen kebangsaan tetapi dengan bersyarat.

Beliau menjelaskan keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat First Instance Body (FIB) Pelesenan Kelab FAM yang dipengerusikan oleh Sheikh Mohd Nasir Sharif, Rabu lalu.

Bagaimanapun, FAM menolak permohonan enam pasukan lain kerana gagal menepati kriteria ditetapkan badan induk itu, katanya dalam kenyataan.

Enam pasukan berkenaan adalah naib juara Liga Premier 2018, Felcra FC, Sabah, Sarawak, UKM FC, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Pulau Pinang.

Stuart menegaskan penolakan tersebut dibuat susulan kegagalan enam pasukan berkenaan memenuhi enam kriteria ditetapkan FAM iaitu kesukanan, infrastruktur, pentadbiran personel, perundangan, kewangan dan perniagaan seperti yang termaktub dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM Edisi 2018.

Bagaimanapun, katanya, enam pasukan berkenaan masih boleh mengemukakan rayuan untuk mendapatkan lesen kebangsaan sebagaimana yang termaktub dalam Artikel 3.4.4 Peraturan Pelesenan Kelam FAM Edisi 2018.

Beliau memaklumkan lesen yang dikeluarkan kepada pasukan hanya sah untuk musim 2019 sahaja, sambil menambah FAM akan menarik balik lesen tersebut sekiranya mereka didapati melanggar mana-mana artikel dalam Peraturan Pelesenan Kelab FAM edisi 2018 atau mempunyai kes berkaitan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) atau Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

"Harus dingatkan,bahawa kelab tidak perlu untuk lesen kebangsaan untuk menyertai Liga Premier 2019, bagaimanapun, kelab wajib memerlukan lesen kebangsaan untuk menyertai Liga Premier 2020 dan seterusnya," katanya. - Bernama