NAIB juara Liga Super 2016, Felda United masih mencari kemenangan sulung di Piala AFC setelah seri 0-0 dengan wakil Filipina, Ceres Negros FC di Stadium Pana-ad Park di Bacolod City, Filipina.

Keputusan tersebut menyaksikan skuad 'The Fighters' masih kekal menghuni tangga tercorot Kumpulan G dengan dua mata selepas tiga perlawanan.

Sebagai rekod, Felda United kalah 1-2 kepada wakil Singapura, Tampines Rovers di tempat lawan, 21 Feb lepas sebelum seri 1-1 menentang kelab Vietnam, Hanoi FC di Stadium Shah Alam pada 7 Mac lalu.

Pada aksi di Filipina yang disiarkan secara langsung menerusi saluran televisyen berbayar, kedua-dua pasukan saling mengasak kubu lawan bagi mencari jaringan awal namun dihampakan ketangkasan penjaga gol.

Keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga tamat babak pertama.

Sebaik babak kedua bersambung, kedua-dua pasukan meneruskan asakan namun nasib lebih menyebelahi Felda United yang dihadiahkan sepakan penalti pada minit ke-58 setelah Norshahrul Idlan Talaha dijatuhkan pemain tuan rumah.

Sepakan lemah yang diambil pemain import dari Argentina, Lucas Cano bagaimanapun berjaya ditepis keluar penjaga gol tuan rumah, Roland Muller dan keputusan seri tanpa jaringan itu kekal sehingga perlawanan tamat.

Dalam satu lagi perlawanan Kumpulan G, Hanoi FC menang selesa 4-0 ke atas Tampines Rovers di Stadium My Dinh, Vietnam. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEDAH sedaya upaya mahu terus kekal di tangga kedua Liga Super 2017 untuk muncul naib johan berikutan kedudukan tersebut kini menjadi buruan beberapa pasukan selepas JDT mempertahankan kejuaraan yang dimiliki mereka sejak empat musim lalu.
  • BIARPUN gelaran juara Liga Super telahpun dimiliki oleh pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT) buat kali keempat berturut-turut malam tadi, namun ia tidak melemahkan semangat pasukan Pahang dan Kedah bersaing untuk menghuni tangga kedua liga berkenaan.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.