FELDA United FC optimis sasar kemenangan tiga mata menentang pasukan Singapura Tampine Rovers bagi mengukuhkan kedudukan dalam Kejohanan Piala Konfederasi  Piala Bola Sepak Asia (AFC) 2017 yang dijadualkan berlangsung, esok.

Pengurusnya, B Sathianathan berkata, tiga mata tersebut amat penting dalam menentukan kedudukan Felda United agar kekal mara menuju peringkat separuh akhir Zon Asia Tenggara di kejohanan berprestij tersebut.

Menurutnya, pasukannya dengan julukan The Fighters itu memerlukan sekurang-kurangnya tiga mata pada perlawanan ini serta menyasarkan tiga mata lagi apabila menentang Hanoi, 3 Mei nanti.

"Kalau dapat tiga mata perlawanan ini dan tiga mata lagi pada perlawanan menentang Hanoi, peluang untuk mara lebih cerah. Dari segi prestasi saya mahu lebih dari perlawanan sebelum ini. (menentang Ceres Negros dan Hanoi di Shah Alam).

"Saya harap, pemain akan gunakan peluang di gelanggang sendiri dengan sebaik mungkin. Tak dinafikan berlawan di padang sendiri ada kelebihannya tapi itu tak bermakna mereka harus merasa selesa.

"Apa yang lebih penting adalah sokongan penonton. Harapan saya apabila dah ada di tempat sendiri maka, belia dan golongan peneroka serta warga Felda khususnya dapat datang beramai-ramai memberikan semangat kesukanan," katanya pada sidang media Piala AFC 2017, Felda United FC lawan Tampine Rovers di Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Bandar Pusat Jengka di Maran, hari ini.

Begitu pun Sathianathan mengingatkan The Fighters agar tidak mengambil ringan serta alpa dalam peperangan padang bersama pasukan di bawah bimbingan Jurgen Raab tersebut.

Beliau yang pernah mengecapi kejuaraan ketika bersama Kelantan (Juara Piala Malaysia 2010) dan Angkatan Tentera Malaysia (Juara Liga Perdana 2012) berkata, akan memberikan tunjuk ajar terbaik kepada The Fighters untuk saingan berdepan Tampine Rovers kerana mereka juga pasukan yang kuat dan dibarisi pemain Kebangsaan Singapura.

Dalam pada itu Sathianathan berkata, lima pemain The Fighters mungkin tidak turun padang dan bakal digantikan atas faktor kecederaan.

"Antaranya Mootaz Junaidi, Wan Amirul Afiq dan Syahid Zaidon. Status masih jadi tanda tanya. Bergantung kepada latihan yang akan diadakan petang ini (semalam). Kalau kecederaan mereka tidak mengizinkan, maka akan digantikan. Kita tengok nanti," katanya.

Pada masa ini, kedudukan Felda United berada di nombor dua carta mengikuti Hanoi dengan lima mata bagi carta Kumpulan G. Skuad Felda United akan beraksi buat pertama kali dalam Piala AFC 2017 di STAR.

Sementara itu, bagi pemain import Zah Rahan Krangar yang merupakan nadi utama The Fighters mengakui sedikit tertekan dengan julukan pemain terbaik, namun berjanji akan memastikan harapan tinggi yang diberikan oleh penyokong dan pasukan terhadapnya, tidak akan disia-siakan.

"The Fighters mampu juarai perlawanan ini. Sudah tentu saya gembira dengan gelaran pemain terbaik. Itu bermakna penyokong beri harapan besar pada saya. Saya kena berlatih lebih gigih dan tak mahu hampakan mereka. Sedikit tertekan tetapi itu perkara biasa dan boleh diatasi," katanya.

Perlawanan Bola Sepak di antara FELDA United FC dan Tampines Rovers dijadualkan 9 malam ini di STAR.


 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGENDALI Felda United, B Sathianathan tidak bercadang untuk membuat rombakan besar-besaran ke atas skuad itu, walaupun bakal harungi Liga Malaysia (Liga-M) yang lebih mencabar pada musim depan.
  • KETUA Jurulatih Felda United, B Sathianathan mengharapkan sentuhan berbisa penyerang Thiago Augusto Fernandes untuk membawa The Fighters ke pentas final Piala Malaysia buat kali pertama.
  • SKUAD Felda United mampu bangkit pada aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia menentang Kedah di Stadium Darul Aman, Alor Setar, bagi menempah tiket ke final buat julung kalinya.
  • PENGENDALI Felda United, B Sathianathan mahu pemainnya kekal fokus dalam sesi latihan bagi memastikan momentum kecemerlangan dapat diteruskan menjelang pertemuan dengan Kedah dalam saingan separuh akhir pertama Piala Malaysia di Jengka, 15 Oktober ini.
  • PENGENDALI Felda United, B Sathianathan mengakui pertemuan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, dalam saingan Liga Super tidak memberi sebarang makna setelah kelab dari selatan tanah air itu dinobatkan juara liga.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.