PEMAIN tenis Switzerland, Roger Federer tampil dengan aksi yang memukau untuk muncul juara Piala Stuttgart apabila menewaskan Milos Raonic dengan kemenangan 6-4, 7-6 (7/3) sekali gus merangkul gelaran ATP ke-98.

Pemain pilihan utama itu menewaskan lawan dari Kanada buat kali ke-11 daripada 14 pertemuan mereka dan memenangi gelaran yang pertama di Stuttgart.

“Saya sangat gembira untuk memenangi kejohanan ini dalam cubaan ketiga saya.

"Secara jujurnya, saya tak pernah rasa tidak bagus di gelanggang itu. Ia adalah minggu yang hebat bagi saya," kata Federer selepas mencatat kemenangan dalam tempoh 78 minit.

Pemain berumur 36 tahun itu bakal memperoleh kembali kedudukan ranking satu dunia pada hari ini dan akan bermain pada minggu hadapan sebagai pemain pilihan utama di Halle apabila dia membuat kemunculan semula selepas tidak menyertai perlawanan musim gelanggang tanah liat.

"Rasa hebat apabila dapat membuat kemunculan semula.

"Kita lihat nanti sama ada menjadi nombor satu semula akan memberi suntikan terhadap saya atau tidak," tambahnya.