ATLET lumba basikal negara, Fatehah Mustapa menerima Anugerah Tokoh Kemerdekaan peringkat Dun Kuala Berang malam kelmarin.

Anak jati Kampung Langgar, Kuala Berang ini, melahirkan rasa syukur dengan anugerah itu.

“Syukur alhamdulillah dan terima kasih kepada Adun Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang sebab sudi memilih saya bersama yang lain sebagai Tokoh Kemerdekaan.

"Lebih bermakna lagi ia adalah sempena hari kemerdekaan ke-60 Malaysia.

“Ini adalah satu penghargaan kepada saya dan keluarga sebagai anak jati Kuala Berang.

"Satu penghormatan boleh berdiri dengan mereka yang lain yang memperjuangkan kemerdekaan yang diberi anugerah.

“Saya menunda penerbangan saya ke Australia malam ini (malam kelmarin) untuk hadir ke anugerah ini,” katanya kepada pemberita di majlis itu.

Fatihah adalah pemenang empat pingat emas acara berbasikal Sukan Sea Kuala Lumpur 2017.

Fatehah dijangka berlepas ke Australia bagi menyertai sesi latihan sebagai persiapan menghadapi kejohanan berbasikal di Bangkok awal bulan depan. - Bernama