PERSATUAN Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) akan bermesyuarat bagi membincangkan beberapa perkara termasuk status Ketua Jurulatih, Ashley Westwood dan pemain pasukan Harimau Kumbang dalam tempoh terdekat.

Presidennya, Zairil Khir Johari berkata, beliau akan memanggil barisan Exco FAP untuk membuat keputusan tentang isu yang melanda persatuan dan pasukan itu.

"Keputusan akan dibuat dalam masa terdekat, mungkin dalam sehari dua (hari lagi). Exco akan buat keputusan, apa yang perlu dirombak dan apa yang perlu dilakukan.

"Kita mengambil serius kekalahan yang dihadapi pasukan dan keadaan pasukan Pulau Pinang itu sendiri. Apa-apa pun, tunggu keputusan mesyuarat Exco FAP. Sebarang keputusan akan diumumkan nanti," katanya kepada media.

Zairil ditemui di Kompleks Mahkamah Tinggi Georgetown selepas menghadiri prosiding keputusan semakan kehakiman terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung persempadanan semula di kawasan Parlimen Bukit Bendera, hari ini.

Sebelum ini, Zairil mengakui membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh ke atasnya menerusi laman Facebook.

Zairil berkata, selain dirinya, Ashley Westwood turut mengalami nasib sama dan perkara itu turut dilaporkan kepada polis.

Perkara itu dipercayai ada hubung kait dengan kemarahan penyokong terhadap FAP dan pasukan itu apabila mempamerkan rekod buruk dengan enam kali kalah dalam Liga Super 2017 dan hanya meraih dua mata.

Prestasi buruk itu menyaksikan Pulau Pinang semakin sukar untuk layak automatik ke Piala Malaysia 2017.

Terdahulu, sekumpulan penyokong setia skuad Harimau Kumbang menyerah memorandum kepada Ketua Menteri, Lim Guan Eng kerana tidak berpuas hati dengan FAP.

Memorandum berkenaan meminta Guan Eng campur tangan mempertimbangkan kedudukan Zairil sebagai Presiden FAP yang disifatkan tidak tahu menjalankan tugas.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.