PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka bakal mewujudkan Liga Divisyen Empat sebagai usaha produktif dalam memacu perkembangan pemain muda di negara ini, lapor SHAFIQ TINO.

Presidennya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim berkata, pelaksanaan liga masih dalam perancangan itu membabitkan penglibatan lebih banyak pasukan daripada liga komuniti serta pemain bawah 19 tahun.

“Kami akan tambahkan lagi pasukan untuk bermain dalam Piala FA. Kami juga akan ada satu liga yang mana 26 atau 27 pasukan yang bersaing di bawah Liga FAM.

“Liga ini terdiri daripada pasukan komuniti dan peniaga-peniaga kecil yang ada kelab sendiri. Tetapi syarat penyertaannya mereka perlu sekurang-kurangnya ada empat pemain bawah 19 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Perjanjian Persefahaman antara Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) dan Forum Liga Dunia (WLF) di sini, semalam.

Tunku Ismail berkata, ia juga salah satu saluran yang baik dalam  menambah lebih banyak pasukan sekali gus realisasi usaha pembangunan struktur liga kompetitif.

“Pada saya, mereka (pemain muda) perlu bermain dalam liga kompetitif, dan liga itu terdiri daripada saingan sedia ada,” katanya.

Sementara itu, beliau memuji kejayaan Skuad Bawah 16 tahun (Lee Teong Kim), Bawah 19 tahun (Bojan Hodak) dan Skuad Bawah 23 tahun (Ong Kim Swee) yang melayakkan diri untuk beraksi dalam Piala AFC pada tahun hadapan.

“Saya akan beri fokus pemain muda di mana mereka pemain yang harus diberi tumpuan,” katanya.

Ditanya sama ada, FAM akan hantar pasukan B-19 berlatih di luar negara, beliau berkata, pihaknya tidak akan berbuat demikian kerana perkara itu hanya merugikan sebaliknya pasukan perlu memberi fokus kepada saingan kompetitif sedia ada.