JUARA bertahan, Australia merekodkan kemenangan kedua dalam saingan Piala Sultan Johor apabila menewaskan Jepun 4-0 di Stadium Hoki Taman Daya Johor Bahru, hari ini.

Nathan Ephraums sekali lagi muncul wira Australia apabila menjaringkan gol pertama pasukan itu - gol keenamnya dalam kejohanan kali ini manakala Nathanel Stewart, Liam Flynn dan Andrew Scanlon masing-masing meledak satu gol bagi melengkapkan kemenangan pasukan berkenaan.

Ketua jurulatih Australia, Brent Livermore, berkata: Pemain sebenarnya beraksi di bawah tahap prestasi terbaik mereka. Kami hanya beraksi dengan baik pada satu suku perlawanan.

“Berdepan pasukan seperti Malaysia, India dan Great Britain ia bukan sesuatu yang baik untuk kami,” katanya.

Sementara itu, rakan sejawatnya di Jepun, Kyochi Nagaya berkata pemain turun dengan tekanan yang tinggi dalam perlawanan itu dan ia menjadi punca kekalahan kepada Australia.

“Mereka beraksi dengan tekanan yang tinggi. Selepas perlawanan menentang India, pemain meletakkan tekanan kepada diri mereka sendiri.

“Ia perlawanan yang baik sepanjang separuh masa pertama tetapi mereka gagal menyamai kekuatan fizikal dimiliki Australia,” katanya.

Jepun yang memberikan tentangan sengit kepada juara Piala Dunia Remaja, India sebelum tewas 2-3 dalam aksi sulung, semalam turun dengan misi untuk melakar kejutan ke atas juara bertahan, Australia.

Strategi Jepun yang melakukan ‘man to man marking’ berjaya mengekang asakan Australia untuk sekurang-kurangnya pada aksi suku pertama dan kedua dengan tidak memberikan ruang kepada anak buah Brent Livermore yang membelasah Amerika Syarikat 19-0 untuk melancarkan serangan.

Satu-satunya peluang terbaik Australia yang berjaya melancarkan serangan ke kawasan Jepun adalah pada minit kedua apabila dihadiahkan pukulan sudut penalti namun gagal menyudahkannya.

Jepun yang berjaya mengimbangi pergerakan bola turut mempunyai peluang untuk melancarkan serangan tetapi gagal menembusi kekebalan kubu pertahanan Australia sekali gus kedua-dua pasukan terikat tanpa jaringan sehingga tamat separuh masa pertama.

Bagaimanapun, Australia bangkit di suku ketiga bagi memecah kebuntuan jaringan menerusi gol padang Ephraums pada minit ke-33.

Gol berkenaan menjadi detik bermulanya penguasaan Australia ke atas Jepun apabila pasukan itu menambah gol kedua menerusi Stewart yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.

Penjaga gol Jepun, Yuri Arnould yang beraksi cemerlang ketika berdepan India bagaimanapun tidak dapat mengekang asakan pemain Australia yang menjaringkan gol ketiga menerusi Flynn pada hujung suku ketiga dan Scanlon melengkapkan kemenangan pasukan berkenaan dengan gol keempat hasil pukulan sudut penalti.

Saingan berehat esok sebelum kembali bersambung pada Rabu dengan Australia akan menentang Great Britain manakala Jepun bertemu Malaysia.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.