SKUAD hoki wanita tampil agresif untuk membenam kelab hoki Belanda, HIC 3-1 dalam aksi pemanas badan pertama sebagai persediaan mengharungi Pusingan Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia (WHWL) di Brussels, Belgium dari 21 Jun hingga 2 Julai ini.

Pada aksi di Kelab HIC, Amsterdam semalam, skuad Malaysian Tigress bermula garang apabila membuka jaringan seawal minit keempat menerusi pukulan sudut yang disempurnakan oleh Fatin Shafika Mohd Sukri.

Bersambung pada suku kedua, kapten Siti Noor Amarina Ruhani menggandakan jaringan minit ke-20 sebelum Hanis Nadiah Onn meledak gol lawan menerusi gol padang pada minit ke-53, untuk meletakkan skuad Muhammad Dhaarma Raj Abdullah selesa di depan

Kelab HIC yang pernah menewaskan skuad negara 3-0 ketika Jelajah Eropah pada April lalu, cuba bangkit memperoleh jaringan minit ke-57, namun sudah terlewat untuk mengatasi skuad negara yang baru tiba di Amsterdam pagi Selasa.

“Kita bermain agresif dengan tekanan tinggi sejak dari mula... Mereka tidak menyangka kerana masa jelajah HIC kalahkan kita 3-0. Hari ini kita bermain dengan cara berbeza, untuk pertahanan dan bergantung kepada serangan balas secara berbeza.

“Gol awal daripada kami menyukarkan mereka. Ini mungkin menjadi satu cara pilihan untuk bermain dalam perlawanan yang perlu kita menang,” kata Dhaarma Raj.

Skuad Malaysian Tigress seterusnya dijangka beraksi dalam dua perlawanan pemanas badan menentang kelab Pinoke pada Rabu dan Hurley pada Khamis sebelum bertolak ke Brussels.

Malaysia akan memulakan kempen WHWL menentang Australia pada 21 Jun, seterusnya berdepan Sepanyol (22 Jun), Belgium (24 Jun) dan New Zealand (27 Jun) dalam aksi peringkat Kumpulan B. Hanya empat pasukan teratas kumpulan akan mara ke peringkat suku akhir.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JURULATIH skuad hoki negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah mengakui sudah mengenal pasti barisan pemain untuk dibawa ke Sukan Asia di Incheon, Korea Selatan bermula September ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.