PEMAIN bukan pilihan Ng Eain Yow mengekalkan rentak kemenangan apabila mara ke final Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Eain Yow memberikan tekanan awal kepada seorang lagi wakil negara Ivan Yuen dengan memenangi set pertama 11-9 namun tewas dalam dua set seterusnya 8-11 dan 7-11 di gelanggang Arena Nicol David di sini.

Pemain berusia 19 tahun itu bangkit menewaskan Yuen yang juga pemain pilihan keempat kejohanan dengan 11-9 dan 12-10.

Eain Yow sangat berpuas hati dapat mara ke final namun mengakui cabaran esok lebih sukar apabila perlu berdepan dengan Leo Au dari Hong Kong yang menewaskan Mazen Hesham dari Mesir 7-11, 11-5, 11-7, 7-11, 11-8.

Kali terakhir beliau bertemu Au pada Kejohanan Skuasy Asia pada April lalu namun kemenangan berpihak kepada pemain lawan itu.

“Saya sangat berpuas hati dapat ke final di kejohanan ini. Ia menebus kekecewaan saya selepas kalah di separuh akhir kejohanan Remaja Asia tahun ini dan kalah di Sukan SEA bagi acara berpasukan lelaki.

“Perlawanan hari ini sangat sengit, tetapi terus fokus di gelanggang, mengurangkan bantahan kepada juri dan kekal positif,” katanya kepada pemberita selepas perlawanan.

Kali terakhir pemain skuasy lelaki memenangi Terbuka Malaysia menerusi Mohd Azlan Iskandar pada 2010.

Sementara itu Au yang kini menduduki ranking ke-27 dunia berkata beliau akan berdepan pemain tempatan yang sangat  berpotensi dalam perlawanan akhir esok.

“Saya percaya final esok akan menjadi perlawanan sukar kerana menentang pemain tempatan yang juga juara remaja dunia.

“Saya tidak fikir final esok akan memihak kapada saya kerana Ng adalah pemain yang konsisten sepanjang kejohanan ini,” kata Au.

Kejohanan Skuasy Terbuka Malaysia kali ini menawarkan hadiah kemenangan bernilai USD 15,000 (RM 63,397) bagi kategori lelaki.-Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEMAIN di ranking ke-83 dunia, Ng Eain Yow bakal menggalas tugas selaku pemain perseorangan lelaki di Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) Ogos depan.
  • LALUAN pemain negara, Ng Eain Yow tersekat di separuh akhir acara individu lelaki Kejohanan Skuasy Remaja Dunia 2015 di Eindhoven, Belanda, semalam, sekali gus menamatkan cabaran wakil negara.
  • SELEPAS memenangi Kejohanan Skuasy Remaja British dan Kejohanan Skuasy Berpasukan Remaja Asia, pemain remaja negara, Ng Eain Yow kini menyasarkan kejayaan lebih besar di peringat dunia.
  • PEMAIN skuasy junior lelaki negara, Ng Eain Yow merakam kemenangan sensasi apabila mencipta hatrik gelaran Terbuka Junior British di Sheffield.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.