E-Sukan mampu beri impak positif dalam mengukuhkan lagi sektor pelancongan negara pada masa depan.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, pertandingan Dota 2 (The Kuala Lumpur Major) yang berjaya menarik minat ribuan peminat E-sukan tempatan dan luar negara, mencerminkan daya tarikan yang ada pada sukan berasaskan permainan video itu.

“Kalau dilihat ramai (peminat) yang datang bukan dari Malaysia. Ia boleh meningkatkan kunjungan pelancong ke Malaysia, dan pada masa sama mempromosi negara, menarik minat khususnya golongan anak muda di Asean

“Mereka (golongan muda Asean) komuniti yang kita nak tarik supaya mereka lebih kenal Malaysia dan ingin datang ke sini banyak kali,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meluangkan masa meninjau pameran di The KL Major di sini, semalam.

Syed Saddiq turut memberi bayangan pertandingan e-sukan akan terus dianjurkan di negara pada masa depan.

“Ini kali pertama dan saya rasa ia bukan kali terakhir. Kita nak bawa lagi banyak pertandingan e-sukan peringkat antarabangsa di Malaysia kerana ia dapat menarik minat bukan sahaja penyertaan rakyat Malaysia tetapi dari luar negara,” katanya.

Mengenai pembangunan e-sukan negara, beliau menegaskan kerajaan komited memastikan e-sukan tidak terpinggir dan terus diberikan perhatian dengan beberapa pelan yang telah dirangka.

Beliau menggariskan tiga perkara utama yang dititikberatkan dalam merangka pelan pembangunannya iaitu memperkasa Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM), menjalin hubungan strategik dengan syarikat berasaskan permainan video dan mewujudkan liga e-sukan bermula dari peringkat bawah. .- Bernama