AKSI sulung Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan pertemuan Arsenal dengan Leicester City, awal pagi semalam berlangsung dalam situasi penuh dramatik dengan tujuh gol terhasil di Stadium Emirates.

Dalam pertemuan itu, Arsenal membuka tirai jaringan menerusi penyerang barunya, Alexandre Lacazette selepas menyempurnakan hantaran Mohamed Elneny pada minit kedua.

Bagaimanapun pelawat tidak menunggu lama apabila menyamakan kedudukan tiga minit selepas itu menerusi pemain Jepun, Shinji Okazaki.

Gol tersebut menyuntik keyakinan The Foxes untuk memburu gol pendahuluan dan usaha mereka berhasil apabila Jamie Vardy menjadikan kedudukan 2-1 pada minit ke-29.

Ketika permainan menuju waktu rehat, Danny Welbeck menceriakan penyokong The Gunners apabila mengikat kembali kedudukan pada waktu tambahan babak pertama.

Enggan mengalah, Leicester mengatur rentak di babak kedua dan hasilnya, Vardy meledak gol kedua peribadi minit ke-56, meletakkan skuad kendalian Craig Shakespeare kembali di hadapan.

Ketika keputusan seakan memihak kepada Leicester, Arsene Wenger melakukan dua pertukaran sekali gus, dengan memasukkan Aaron Ramsey dan Olivier Giroud pada minit ke-67.

Percaturan Wenger berhasil apabila Ramsey menyumbat gol ketiga Arsenal (m-83) sebelum Giroud membunuh momentem Leicester dengan gol kemenangan lima minit sebelum perlawanan tamat.  

Keputusan akhir menyaksikan The Gunners melakar kemenangan 4-3 untuk meraih tiga mata pertama musim ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENYERANG Liverpool, Roberto Firmino didapati tidak bersalah atas tuduhan mengelurkan kata-kata kesat kepada pemain Everton, Mason Holgate dalam aksi Piala FA, Januari lalu.
  • VIRGIL Van Dijk berkata, beliau tidak kisah dengan ejekan yang diterima ketika kembali beraksi di Stadium St Mary's asalkan Liverpool berjaya memperoleh kemenangan 2-0 ke atas Southampton dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), awal pagi tadi.
  • “SAYA kecewa dan marah kerana ini bukanlah sebuah perlawanan yang bagus.
  • TOTTENHAM Hotspur tekad membantu pemain tengahnya Dele Alli kembali berada pada prestasi terbaik dalam membantu kelab itu mencabar kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).
  • ARSENE Wenger meluahkan kekecewaan terhadap mutu pengadilan dalam perlawanan bertemu Manchester City di Etihad semalam.