ATLET Olimpik negara, Mohd Hafifi Mansor, telah digantung sementara oleh Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) kerana gagal ujian doping.

Badan angkat berat dunia itu menyatakan penggantungan dibuat selepas dapatan analisis memudaratkan (AAF) sampel urin yang dikembalikan oleh atlet itu mengandungi Oxymetholone, bahan steroid sintetik anabolik dan androgenik.

"Dalam mana-mana kes di mana ia ditentukan bahawa atlet  tidak melanggar peraturan antidoping, keputusan yang relevan juga akan diterbitkan. IWF tidak akan membuat apa-apa ulasan lanjut mengenai kes itu sehingga ia diselesaikan,” demikian kenyataan IWF yang disiarkan dalam laman web rasminya, www.iwf.net.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS), S. Nishel Kumar mengesahkan penggantungan sementara pemenang emas Sukan Komanwel 2014 itu.

“Adalah terlalu awal untuk memberi komen mengenal perkara ini...kami akan berhubung dengan Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM),” katanya.

Nishel berkata IWF telah memaklumkan pelanggaran antidoping oleh atlet berkenaan kepada pihaknya pada 11 Oktober lepas.

“Kami ditanya oleh IWF sama ada atlet berkenaan menerima keputusan itu atau ingin mencabarnya. Kami akan membantu PABM untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.

Mohd Hafifi dipercayai gagal ujian doping pada Mac lepas.

Beliau digugurkan daripada beraksi pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lepas, susulan kecederaan paha kiri dialaminya ketika menjalani latihan di China, Julai lepas.

Mohd Hafifi tampil pada Sukan Olimpik Rio 2016 dengan meleburkan rekod kebangsaan dalam acara 69kg dengan mengangkat bebanan berjumlah 316kg berbanding rekod lama 313kg yang dilakukan pada Kejohanan Dunia di Perancis pada 2011.

Beliau merupakan sasaran negara untuk mempertahankan pingat emas pada Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

Sementara itu, Pengarah ADAMAS, Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz berkata sekiranya Mohd Hafifi, 26, mahu mencabar sampel B, maka dia mempunyai pilihan untuk hadir atas perbelanjaan sendiri untuk melihat ujian tersebut di sebuah makmal di Sydney, Australia.

“Saya tidak boleh mengulas lebih banyak mengenai kes yang sedang berjalan ini...perkara ini adalah dengan IWF dan PABM.. Dia (Mohd Hafifi)  boleh pergi (ke Sydney) seorang diri atau ditemani sesiapa sahaja pilihannya….kemungkinan wakil dari PABM.

“Sekiranya dia tidak pergi, sampel botol B akan tetap dibuka dan diuji dengan sewajarnya pada masa yang ditetapkan,” katanya.

Dr Ramlan menyifatkan insiden tersebut sabagai amat mengecewakan kerana pihaknya sentiasa berpegang kepada dasar toleransi sifar mengenai isu doping.

Sudah pasti ia berita yang mengecewakan ADAMAS selepas hanya seminggu lalu seorang penerjun wanita negara, yang memenangi pingat emas, dilaporkan gagal dalam ujian doping yang dijalankan semasa temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos lepas.

Penerjun itu disahkan mengambil bahan terlarang jenis sibutramine, kandungan yang biasa terdapat dalam produk menurunkan berat badan. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PERSEKUTUAN Sukan SEA (SEAGF) hari ini mengumumkankan tiga atlet termasuk pemenang pingat emas acara terjun, Wendy Ng Yan Yee, gagal ujian doping di Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).
  • KOREA Selatan bersiap sedia untuk menyediakan program anti-doping yang "kukuh dan berkesan" pada Sukan Musim Sejuk PyeongChang 2018, lapor agensi berita Yonhap.
  • TEKA-TEKI mengenai atlet terjun yang gagal ujian doping ketika Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) terjawab apabila Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mendedahkan atlet tersebut adalah Wendy Ng Yan Yee.
  • LEBIH banyak ujian dadah akan dijalankan pada Sukan SEA Kuala Lumpur termasuk pemeriksaan darah yang diperkenalkan pada Sukan Singapura untuk membersihkan temasya itu daripada penipu.