NOVAK Djokovic mengesahkan kejuaraan Terbuka Amerika Syarikat ketiga buatnya selepas menewaskan Juan Martin del Potro pada aksi final sebentar tadi.

Pemain Serbia itu, mendominasi keseluruhan perlawanan sebelum menang  6-3, 7-6 (7-4), 6-3 ke atas rakan baiknya, Del Potro yang masih bergelut daripada kecederaan pergelangan tangan.

Kejayaan itu juga menyaksikan Djokovic mengukir gelaran Grand Slam ke-14 sepanjang kariernya sekali gus menyamai pencapaian Pete Sampras untuk berada di tangga ketiga pemain yang meraih gelaran Grand Slam terbanyak dalam sejarah.

"Bila saya menjalani pembedahan siku tahun ini, saya memahami apa yang Del Potro lalui. Bila anda kecewa, anda dapat belajar sesuatu dan saya cuba mengeluarkan yang terbaik daripada momen buruk itu.

"Saya sebenarnya sangat berharap Pete Sampras berada di sini kerana saya mahu mengatakan, 'saya sayangkan awak' dan berharap dapat berjumpa dengannya dalam masa terdekat," kata Djokovic selepas perlawanan.

Sementara itu, pesaing Djokovic, Del Potro mengakui sangat kecewa gagal menjuarai gelaran ini, namun pada masa sama beliau bersyukur dapat mara sejauh ini walaupun masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

"Sukar untuk saya berkata sesuatu sekarang ini, tetapi saya gembira dapat bermain di final dengan pemain yang menakjubkan seperti Djokovic. Saya kecewa kerana kalah, tetapi saya gembira untuk Djokovic," katanya.