TIADA istilah mengalah buat penerjun muda negara, Nur Dhabitah Sabri susulan kegagalannya dalam dua Kejohanan siri Terjun Dunia, baru-baru ini.

Bagi Dhabitah, kegagalan itu bukan penamat bagi dirinya malah dia berjanji akan bekerja keras dalam misi memburu pingat pada temasya Sukan Komanwel di Gold Coast, bulan depan.

"Dalam setiap kejohanan bukan semua kita dapat beraksi cemerlang.. Kita seperti pergerakan roda. Ada masanya berada di atas dan ada masanya berada di bawah.

"Saya sentiasa positif untuk berusaha lebih keras dengan mengenalpasti masalah, melihat kembali cara terjunan dan sebagainya untuk menghadapi Sukan Komanwel.

"Lagipun kegagalan lepas akan buat kita lebih kuat untuk hadapi kejohanan selepas ini. Apa yang penting sekarang ialah teruskan latihan dan tiba di hari pertandingan cuba buat yang terbaik...kalau menang ia satu bonus untuk kita," katanya pada sidang media persediaan atlet Podium ke Sukan Komanweldi di Institut Sukan Negara (ISN), hari ini.

Pada Siri Terjun Dunia iaitu di Beijing, China, Dhabitah gagal meraih sebarang pingat apabila terpaksa berpuas hati di tempat terakhir apabila hanya mencatat 306.00 mata dalam lima terjunan pada aksi final.

Selepas itu, Siri Terjun Dunia FINA kedua di Fuji, Jepun, Dhabitah juga kandas selepas hanya menamatkan saingan di tangga keempat daripada enam penerjun dengan kutipan 288.75 mata sekali gus gagal mara ke final.

Pada penampilan keduanya di Sukan Komanwel, penerjun berusia 19 tahun itu akan beraksi dalam empat acara iaitu dalam empat acara iaitu 1m papan anjal, 3m papan anjal serta 3m papan anjal seirama dan 10m platform seirama bergandingan dengan Leong Mun Yee.

Mengulas lanjut mengenai persediaan serta keserasian bersama Mun Yee, Dhabitah yakin pasangannya itu mampu membuat terjunan terbaiknya walaupun sudah lama tidak beraksi dalam acara papan anjal.

“Bagi saya Mun Yee seorang penerjun yang kuat. Walaupun baru dua Siri Dunia tapi dia telah naikkan mata setiap terjunan yang kami buat bersama.

"Saya yakin Mun Yee boleh bantu saya di Sukan Komanwel nanti,” katanya.

Pada Sukan Komanwel 2014 di Glasgow, Dhabitah memenangi pingat gangsa dalam platform seirama 10m bersama Pandelela Rinong.