SELEPAS kekalahan kedua berturut-turut dicatat Selangor, sudah timbul desakan daripada penyokong meminta untuk Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) menukar jurulatih baharu.

Desakan ini dibangkitkan selepas The Red Giants tewas 1-3 di tangan Pahang ketika beraksi di laman sendiri semalam.

Mengulas mengenai desakan tersebut, pengendalinya, P Maniam enggan menekan butang panik.

Sebaliknya, beliau memilih untuk menerima apa sahaja kritikan yang diterimanya untuk terus bekerja keras di masa akan datang kerana beliau percaya skuad kendaliannya mampu bangkit dalam aksi seterusnya.

"Biasalah, penyokong mempunyai pendapat mereka sendiri, jadi kami perlu menerima apa yang diperkatakan oleh penyokong kerana ini sesuatu perkara yang normal.

"Lepas dua kekalahan, memang ada sedikit kekecewaan, tetapi ini lumrah bola sepak. Saya percaya selepas kalah dalam dua perlawanan kami mampu bangkit dalam perlawanan seterusnya.

"Dengan pemain berpengalaman seperti Amri Yahyah, Razman Roslan dan Rufino Segovia saya tahu pemain-pemain saya akan bangun semula selepas dua kali dikecewakan," katanya.

Bercakap mengenai kekalahan tempoh hari, Maniam menyifatkan kealpaan di barisan pertahanan menjadi punca pasukannya gagal bangkit.

Beliau mengakui kesilapan banyak dilakukan oleh pemain importnya, Alfonso de la Cruz hingga memaksa beliau membuat pertukaran di separuh masa pertama untuk memasukkan Ilham Udin Armaiyn.

"Keseluruhan, Alfonso memang bekerja keras, tetapi dia tidak melakukan tugasnya untuk 'build up' bola dari bawah dan seolah-olah tidak berfungsi.

"Sebab itulah saya masukkan Ilham dan boleh dilihat kami beraksi lebih baik selepas itu. Cuma beberapa kesilapan di barisan pertahanan menggagalkan usaha kami untuk bangkit mencatat kemenangan," katanya lagi.