ROMANO Fenati mencetus kontroversi dalam saingan Moto2 di GP San Marino apabila sengaja menekan brek Stefano Manzi ketika perlumbaan sedang berjalan.

Insiden itu tercetus pada pusingan ketujuh apabila Fenati cuba mendekati Manzi yang sedang memecut dan cuba menekan brek pesaingnya itu ekoran tidak berpuas hati dengan sedikit pelanggaran yang berlaku sebelum itu.

Tindakan itu menyebabkan Fenati ditunjukkan bendera hitam dan tidak layak meneruskan perlumbaan.

Bukan itu sahaja, pelumba Marinelli Snipers itu juga turut digantung dua perlumbaan sekali gus menyaksikan beliau bakal terlepas perlumbaan di Aragon dan Thailand.

Mengulas insiden tersebut, pelumba MotoGP, Cal Crutchlow menyifatkan kejadian itu tidak boleh dimaafkan dan mahu pelumba Itali itu digantung seumur hidup.

"Saya rasa dia tidak sepatutnya berlumba lagi. Pasukannya juga perlu segera menyingkirkan pelumba tidak profesional sepertinya.

"Insiden seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam perlumbaan MotoGP. Anda membahayakan nyawa pelumba lain. Ya mungkin Manzi ada melakukan sentuhan, tetapi anda tidak patut bereaksi dengan cara itu," kata Crutclow yang menduduki tangga ketiga MotoGP San Marino.

Untuk rekod, ini bukanlah kali pertama Fenati mencipta kontroversi. Sebelum ini, beliau pernah disingkirkan daripada Akademi VR46 akibat masalah sikap.

Selain itu, beliau juga pernah menendang Niklas Ajo sewaktu sesi latihan GP Argentina pada tahun 2015 yang menyaksikan beliau dikenakan penalti tiga mata.