MOHD Zaqhwan Zaidi membuktikan dirinya sebagai pelumba pilihan kategori CP130 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2013 apabila mengungguli sesi latihan masa yang juga merupakan rekod baru litar pada Pusingan ketiga di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Terengganu, hari ini.

Pelumba GiVi Honda Yuzy Pachie itu merakamkan catatan terpantas 40.999 saat, 0.093s lebih pantas berbanding rekod pada tahun 2012, 41.092s milik Azlan Shah Kamaruzaman (Harian Metro Y-TEQ SCK Honda Racing).

Azlan Shah pula tetap mengekalkan momentum terbaik apabila merakamkan masa kedua terpantas dengan catatan 41.209s sambil juara pusingan lepas di Melaka, Ahmad Fuad Baharudin (Faito Yamaha Motobert) ketiga, 41.254s.

Bagi Zaqhwan, catatan terbaik yang dilakar hari ini akan membantu beliau meningkatkan lagi keyakinannya untuk memburu podium pertamanya pada musim ini.

“Saya sebenarnya tidak menyangka dapat melakukan catatan di bawah 41 saat namun jentera saya berada dalam keadaan yang cukup baik. Tidak banyak perubahan yang kami lakukan dan saya hanya berusaha memberikan yang terbaik sebaik keluar ke litar.”

“Pada sesi Superpole esok, saya akan cuba sekali lagi memberikan yang terbaik kerana mahu memulakan perlumbaan akhir dari petak pertama. Saya mahu mengejar kedudukan podium di sini bagi menebus kekecewaan sepanjang dua pusingan lepas.

“Selain itu, saya juga mahu merapatkan jurang kedudukan mata dengan pendahulu keseluruhan,” jelas Zaqhwan.

Sementara itu, dua pelumba MAZ Racing berjaya mendominasi sesi ujian masa kategori CP 115 setelah Mohd Haeikal Akmal Zakaria muncul pelumba terpantas dengan catatan 42.059s.

Fakhrusy Syakirin Rostam pula berada di kedudukan kedua dengan catatan 42.144s, manakala Shariffudin Shamsuddin (PETRONAS Yamaha-CKJ) ketiga terpantas, 42.149s.

“Saya dan Fakhrusy akan merancang strategi bersama untuk sesi Shoot-Out esok. Sasaran kami adalah untuk merebut petak pertama dan kedua bagi perlumbaan akhir nanti. Jika berjaya, kami sekali lagi akan bekerjasama untuk menghadapi perlumbaan akhir nanti.

“Walaupun penting untuk saya mengejar kedudukan podium peribadi, namun pada masa sama kedudukan pasukan juga perlu diambil kira,” jelas Mohd Haeikal.

Mengulas mengenai kegagalannya untuk menaiki podium sekalipun sering kali berada di kelompok hadapan terutama pada dua perlumbaan lepas, Mohd Haeikal berkata, “ia mungkin kesilapan saya sendiri. Kadang-kala saya agak gementar dan gelisah ketika bersaing di kelompok hadapan.

“Saya akan cuba mengatasi masalah tersebut dan mahu memastikan kedudukan podium berada di genggaman,” jelas beliau.

Dalam kategori Wira, dua pelumba Warner Pumps-YSP mempamer aksi cemerlang apabila Mohd Hafiza Rofa berjaya merakamkan masa terpantas dengan catatan  42.471s manakala rakannya Mohd Shafiq Rasol di kedudukan ketiga dengan catatan 43.143s.

Catatan kedua terpantas dilakukan oleh Khairul Idham Pawi (Hyperspeed YAM Honda Racing) dengan masa 42.896s.

Bagi juara Pusingan pertama di Batu Kawan dan Pusingan kedua di Melaka itu, beraksi di halaman sendiri jelas meningkatkan semangatnya untuk memberikan yang terbaik, ditambah dengan pemburuan gelaran hatrik pertama dirinya pada musim ini.

“Semuanya berada di dalam keadaan baik terutama daripada segi jentera dan juga persediaan fizikal saya sendiri yang baru sahaja pulih daripada kecederaan.

“Saya berharap, dengan kehadiran ahli keluarga dan rakan-rakan akan dapat membantu saya untuk mencapai gelaran hatrik di sini. Pasti lebih seronok rasanya jika dapat memenangi perlumbaan di halaman saya sendiri,” jelas Mohd Hafiza.

Berikut keputusan Ujian Masa

 
CP130

1.Mohd Zaqhwan Zaidi (Honda) 40.999s

2.Azlan Shah Kamaruzaman (Honda) 41.209s

3.Ahmad Fuad Baharudin (Yamaha) 41.254s

4.Mohd Affendi Rosli (41.335s)

5.Mohd Adib Rosley (Yamaha) 41.376s

 

CP115

1.Mohd Haeikal Akmal Zakaria (Honda) 42.059s

2.Fakhrusy Syakirin Rostam (Honda) 42.144s

3.Mohd Shariffudin Shamsuddin (Yamaha) 42.149s

4.Tengku Amirul Haffirudin (Yamaha) 42.196s

5.Mohd Emir Firdaus Hasan (Suzuki) 42.428s

 

WIRA

1.Mohd Hafiza Rofa (Yamaha) 42.471s

2.Khairul Idham Pawi (Honda) 42.896s

3.Mohd Shafiq Rasol (Yamaha) 43.143s

4.Mohd Fairuz Nasir (Yamaha) 43.474s

5.Mohd Adam Mohd Norrodin (Honda) 43.485s