JARINGAN Mario Mandzukic pada masa tambahan menyaksikan Croatia melakar sejarah tersendiri, apabila layak menempah tiket final Piala Dunia buat pertama kali, sekaligus meranapkan impian England dengan kemenangan 2-1 pada Rabu, lapor agensi berita Xinhua.

Penyerang Juventus itu mempamerkan aksi menarik apabila berjaya meloloskan diri daripada kawalan pemain pertahanan England dan menumpaskan penjaga gawang pasukan lawan, Jordan Pickford.

England sebelum itu mendahului Croatia, selepas pemain pertahanan Kieran Trippier menjaringkan gol hasil tendangan bebas untuk menamatkan babak pertama pada kedudukan 1-0.

Croatia menyamakan keududukan pada separuh masa kedua apabila pemain tengah, Ivan Perisic meledakan gol menerusi sepakan yang menarik.

Jaringan Mandzukic pada masa tambahan akhirnya memadamkan impian England melangkah ke perlawanan akhir Piala Dunia sejak muncul juara pada 1966.

Croatia akan bertemu Perancis pada perlawanan akhir Ahad ini.

Kejayaan melayakkan diri ke perlawanan akhir dianggap satu pencapaian terbaik Croatia, kerana berjaya memperbaiki kedudukan tempat ketiga pada Piala Dunia 1998. - Bernama