FINAL impian antara jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei dan musuh tradisinya, Lin Dan dari China semakin hampir menjadi kenyataan apabila masing-masing mara ke separuh akhir Kejohanan Seluruh England. 

Kedua-dua bintang veteran yang dikatakan tampil buat kali terakhir di kejohanan berprestij ini, masing-masing melepasi halangan lawan yang jauh lebih muda daripada mereka.

Selaku pilihan utama kejohanan, Chong Wei, 34, tidak berdepan masalah menewaskan Tian Houwei, 25, dari China 21-12, 21-15 di suku akhir di Birmingham pada Jumaat (awal pagi Sabtu waktu Malaysia).

Menanti Chong Wei di separuh akhir adalah Chou Tien Chen dari Taiwan yang menewaskan pemain Thailand, Tanongsak Saensomboonsuk 21-19, 16-21, 21-8 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Lin Dan, 33, pula mara selepas bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengenepikan Viktor Axelsen, 23, dari Denmark 8-21, 21-14, 21-15.

Selepas ini, Lin Dan akan membuat perhitungan dengan rakan senegaranya, Shi Yuqi yang mara sesudah menewaskan pemain Jepun, Kazumasa Sakai 21-13, 21-4.

Turut mengikut jejak Chong Wei ke separuh akhir adalah beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang menewaskan Wang Yilyu-Huang Dongping dari China, 23-21, 21-14 di suku akhir.

Di separuh akhir, mereka akan menentang Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun yang sebelum itu mengalahkan Yoo Yeon Seong-Kim Ha Na dari Korea Selatan, 21-17, 18-21, 22-20.

Namun cabaran beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong berakhir di suku akhir selepas tewas kepada Li Junhui-Liu Yuchen dari China 19-21, 21-17, 19-21. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PRESIDEN Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria tidak menunjukkan tanda keresahan di sebalik kekalahan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei di Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia 2017 di Jakarta, semalam.
  • PEMAIN perseorangan utama negara Datuk Lee Chong Wei gagal ke peringkat suku akhir apabila dikejutkan dengan kekalahan di tangan pemain India H. S. Prannoy di pusingan kedua Kejohanan Terbuka Indonesia yang berlangsung di Pusat Konvensyen Jakarta, hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.