JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengekalkan rentak kemenangan apabila mara ke final Kejohanan Badminton Terbuka Hong Kong bertemu Chen Long dari China esok.

Chong Wei tidak berdepan masalah menundukkan pencabarnya Shi Yuqi dari China dengan straight set 21-19 dan 21-8 pada perlawanan separuh akhir itu sebentar tadi, menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Chen Long pula terpaksa berhempas pulas menewaskan Anders Antonsen dari Denmark dengan 21-14, 19-21 dan 21-17 dalam pertarungan yang berlangsung selama sejam 26 minit dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Chong Wei menjuarai Terbuka Hong Kong sebanyak empat kali pada 2009, 2010, 2013 dan 2015. - Bernama