JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei kini sudah bersedia untuk menggenggam gelaran juara pada kejohanan badminton Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak bulan depan.

Kejohanan bertaraf Super Siri Premier itu berlangsung dari 4 hingga 9 April depan dengan menyaksikan penyertaan beberapa bintang dunia antaranya musuh tradisi Chong Wei dari China, Lin Dan.

Chong Wei berkata, kejayaan di Seluruh England baru-baru ini menyuntik semangat untuk dirinya terus menampilkan prestasi terbaik.

"Saya memang menantikan saingan Terbuka Malaysia di Kuching. Di sana (Stadium Perpaduan) pada 2006 saya mempunyai kenangan melakukan kebangkitan semula ketika bertemu Lin Dan.

“Ketinggalan 13-20 di set penentuan adakah anda rasa saya mampu memenangi perlawanan itu. Sudah tentu tidak, sebab saya sendiri tidak mempercayainya.

“Saya kemudian berjaya menyamakan kedudukan sebelum memenangi set itu 23-21,” katanya yang memenangi perlawanan itu dengan keputusan 21-18, 18-21, 23-21.

Ketika itu, ia gelaran Terbuka Malaysia ketiga berturut-turut untuk Chong Wei selepas berjaya melakukannya pada 2004 dan 2005.

Lin Dan pula sehingga kini masih belum mampu memenangi walau satu gelaran Terbuka Malaysia.

“Harap kali ini saya dapat menghiburkan sekali lagi peminat tempatan,” kata Chong Wei.

Berdasarkan undian kali ini, Chong Wei akan membuka tirai saingan menentang pemain England Rajiv Ouseph di pusingan pertama dan dijangka membuat perhitungan dengan Lin Dan andai kedua-kedua pemain mara sehingga ke final sekali gus menjanjikan pertembungan yang menarik.

Kali terakhir kedua-dua pemain bertemu adalah pada aksi separuh akhir Olimpik Rio 2016.

Aura Chong Wei

HANYA 500 keping tiket diperuntukkan setiap hari dari 4 hingga 9 April ini bagi menyaksikan Terbuka Malaysia.

Menteri Muda Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, ini kerana semua tiket yang ditawarkan sebelum ini sudah habis terjual, terutama tiket pada 8 dan 9 April yang menyaksikan pusingan separuh akhir dan akhir.

Menurutnya, sambutan ini adalah sesuatu yang di luar jangkaan dan tiket yang berbaki itu adalah yang akan dijual di Stadium Perpaduan pada hari kejohanan.

“Kami menerima begitu banyak permintaan hingga ejen yang dilantik tidak lagi memiliki stok,” katanya.

Jelas Abdul Karim, pihaknya akan menghentikan penjualan tiket pada 20 Mac (hari ini) bagi mengelakkan penjualan tiket palsu dan jualan dalam pasar gelap.

Kejohanan di Kuching ini pasti akan menjadi tumpuan, apatah lagi musuh ketat Chong Wei, Lin Dan akan turut beraksi.

“Itu antara faktor yang menyebabkan jualan tiket ini umpama pisang goreng panas,” tambahnya lagi.

Kejohanan ini akan menelan belanja RM3.9 juta, dengan RM600,000 adalah tajaan Kerajaan Negeri Sarawak.

“Ia akan ditayangkan secara langsung oleh Astro Arena ke 30 negara dan ini adalah peluang terbaik untuk kami mempromosikan Sarawak,” katanya.

 

TRIVIA:

- Chong Wei memenangi Terbuka Malaysia 2016 apabila berjaya menumpaskan pemain China, Chen Long menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-8 dalam kejohanan yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam.

- Atlet kelahiran Pulau Pinang itu melakar kejayaan dalam tempoh hanya 43 minit.

- Selaku juara Chong Wei membawa pulang AS$41,250 (RM161,287) manakala Chen Long AS$20,900 (RM81,719).

 

INFO:

GELARAN JUARA CHONG WEI DI TERBUKA MALAYSIA - Chong Wei memenangi 11 kejuaraan Terbuka Malaysia yang dicatatnya pada 2004, 2005, 2006, 2008, 2009, 2010, 2011, 2012, 2013, 2014 dan 2016.

$content.code.value
Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • JAGUH perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei, belum bersedia untuk bersara biarpun memaklumkan bahawa Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, minggu lepas, adalah kejohanan terakhir bagi dirinya sebelum menggantung raketnya.
  • "BERI dia (Datuk Lee Chong Wei) ruang untuk bertenang dan tolong jangan buat spekulasi apa-apa mengenai isu persaraannya ketika ini."
  • JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei perlu menerima dengan terbuka keputusan undian Kejohanan Dunia 2017 yang akan berlangsung di Glasgow, Scotland, pada 21 hingga 27 Ogos ini.
  • JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei tidak peduli siapa juga lawan yang akan ditentangnya dalam misi utama mencari Kejuaraan Dunia pada Kejohanan Badminton Dunia di Glasgow, Scotland yang bermula 21 Ogos ini.
  • JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menghadapi tugas getir dalam usaha untuk merangkul kejuaraan sulung pada Kejohanan Dunia 2017 yang berlangsung di Emirates Arena di Glasgow, Scotland dari 21 hingga 27 Ogos.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.