JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei terpaksa berhempas pulas sebelum mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Siri Super Terbuka Hong Kong di Hong Kong Coliseum, malam tadi.

Pemain pilihan kelapan itu tewas di set pertama sebelum bangkit di dua set seterusnya untuk mencatat kemenangan 21-23, 21-11 dan 21-12 ke atas pemain senior tuan rumah, Wei Nan di pusingan kedua, demikian menurut laman web Siri Super Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF), www.bwfworldsuperseries.com.

Chong Wei yang merupakan juara empat kali pada kejohanan berkenaan, bagaimanpun bakal berdepan tugas getir di suku akhir apabila dijadual bertemu pilihan kedua, Son Wan Ho dari Korea Selatan, yang menewaskan Tommy Sugiarto dari Indonesia; 11-21, 21-16 dan 21-12 pada satu lagi aksi pusingan kedua.

Pasangan beregu lelaki negara, Ong Yew Sin/Tan Wee Kiong juga menempah slot ke suku akhir selepas menumpaskan pasangan ‘bidan terjun’, Tan Boon Heong/Hendra Setiawan (Malaysia/Indonesia); 17-21, 22-20 dan 21-12.

Bekas pemain negara, Lim Khim Wah yang bergandingan dengan bekas juara Asia, Yoo Yeon Seong dari Korea Selatan, pula tersingkir daripada kejohanan itu selepas tewas 20-22, 21-18 dan 19-21 kepada pilihan keempat, Li Junhui/Liu Yuchen dari China.

Cabaran Malaysia dalam acara beregu wanita juga berakhir selepas satu-satunya pasangan negara yang tinggal meneruskan saingan pada kejohanan itu, Vivian Hoo Kah Mun/Woon Khe Wei kalah kepada pilihan kelima, Shiho Tanaka/Koharu Yonemoto dari Jepun; 15-21 dan 7-21.-Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SAINGAN pembuka tirai 2018 pada Kejohanan Badminton Perodua Malaysia Masters dijangka sengit dengan kehadiran barisan pemain terbaik dunia untuk menyertai kejohanan yang akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil dari 16 hingga 21 Januari ini.
  • JAGUH perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei mara ke perlawanan akhir kejohanan badminton Siri Super Akhir Dunia di Dubai, hari ini.
  • JAGUH badminton negara, Datuk Lee Chong Wei mengesahkan tempat ke separuh akhir Siri Super Akhir Dunia di Dubai, Emiriah Arab Bersatu selepas mendahului Kumpulan A.
  • “KITA jangan risau pasal (usia) (Datuk Lee) Chong Wei, tapi kita kena risau dengan prestasi pemain lain.
  • JAGUH perseorangan lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei dan beregu campuran negara, Tan Kian Meng/Lai Pei Jing layak ke saingan Siri Super Akhir 2017 selepas menghuni kelompok lapan terbaik dalam ranking Super Siri musim ini.