REKOD tanpa kalah musim ini oleh Kedah menjadi antara topik bualan peminat-peminat bola sepak tempatan selepas pasukan itu menewaskan Perak 2-0 di Stadium Perak pada pusingan ketiga Piala FA 2017 sekali gus mara ke kelompok lapan pasukan terbaik.

Belum tewas dalam saingan Liga Super 2017 setakat ini selepas lapan perlawanan dan juga pada kejohanan Piala FA 2017 meletakkan pendahulu Liga Super itu antara pasukan pilihan.

Ramai melihat skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu mampu menjadi antara pasukan pilihan musim ini termasuk Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Pahang di peringkat saingan Liga Super 2017.

Bagaimanapun Cheng Hoe dalam reaksinya selepas kemenangan ke atas Bos Gaurus semalam berkata, kredit wajar diberikan kepada semua pemainnya termasuk barisan simpanan kerana berjaya menGgalas tugas dengan baik pada setiap perlawanan.

"Tahniah kepada semua pemain kerana mempamerkan aksi konsisten walaupun pada awalnya sudah faham bahawa bukan mudah untuk menang di Stadium Perak apabila mereka mendapat sokongan padu puluhan ribu penyokong setia di sini.

"Namun pemain tetap tenang mengawal tempo dan antara sebab kami berjaya mengatasi Perak di sini adalah sikap tidak mahu mengalah dan berjuang sehingga ke wisel penamat," katanya.

Hijau Kuning diundi bertemu satu lagi pasukan dari Perak iaitu, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) pada pertemuan suku akhir yang dijadualkan pada 31 Mac ataupun 1 April nanti.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BARISAN jurulatih Hijau Kuning berharap kelab-kelab penyokong akan terus berada di belakang pasukan untuk terus memburu kejayaan musim 2017 terutama di dalam menghadapi dua lagi perebutan kejuaraan iaitu Liga Super dan juga Piala Malaysia.
  • IMPORT baharu Pulau Pinang, Mark Hartmann tekad membantu pasukan tersebut untuk keluar dari zon penyingkiran Liga Super pada musim ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.