SINGAPURA - Cabaran beregu utama lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong di kejohanan badminton Terbuka Singapura berakhir selepas gagal melepasi pencabar mereka di suku akhir, hari ini.

Pasangan negara yang diletakkan sebagai pilihan kedua kejohanan, mudah dijinakkan pasangan Indonesia, Hardianto Hardianto-Berry Angriawan 15-21, 15-21 dalam pertarungan selama 36 minit.

Ini adalah kali pertama kedua-dua beregu ini bertemu dan V Shem-Wee Kiong, pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2016, yang sering menampilkan aksi turun naik, sekali lagi dihampakan dengan corak permainan sendiri.

Pasangan negara yang juga beregu nombor empat dunia, bagaimanapun enggan memberikan sebarang ulasan ketika ditanya Bernama.

Sebaliknya, Hardianto berkata kemenangan yang diperoleh mereka banyak dibantu dengan corak permainan lawan.    

"Pasangan Malaysia banyak melakukan kesilapan sendiri dan itu memberi ruang kepada kami untuk memenangi perlawanan ini," kata Hardianto yang bersama Berry menduduki ranking ke-40 dunia.

Di separuh akhir esok, Hardianto-Berry akan menentang pemenang perlawanan antara beregu nombor satu dunia, Li Junhui-Liu Yuchen dari China atau rakan senegara, Ricky Karandasuwardi-Angga Pratama.

Satu lagi cabaran wakil Malaysia hari ini adalah beregu campuran nombor dua negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang akan menentang pilihan keempat, Joachim Fischer Nielsen Christinna Pedersen dari Denmark malam ini.

Kejohanan Terbuka Singapura yang menawarkan hadiah berjumlah US$350,000 (RM1.54 juta) akan berakhir Ahad ini. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEMAIN beregu lelaki negara, Goh V Shem berupaya mengulangi pencapaiannya menjuarai acara itu di kejohanan badminton Siri Super Premier Terbuka Malaysia, yang kali terakhir dimilikinya pada 2014.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.