• Cabaran atlet kurang upaya Seorang atlet membawa obor sebagai gimik perasmian Kejohanan Special Olympics 2012 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos.
  • Cabaran atlet kurang upaya Salah seorang atlet sedang beraksi dalam acara melontar peluru.
1 /

JOHOR BAHRU – Sebagai meningkatkan semangat kesukanan dalam kalangan orang kurang upaya (OKU), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengadakan Kejohanan Special Olympics 2012 yang menyaksikan penglibatan kira-kira 403 atlet OKU, di seluruh negeri ini.

Pengarahnya, Khadijah Abdullah berkata, sukan yang kali kedua dianjurkan itu melibatkan penyertaan 12 kontinjen daripada sepuluh daerah dan dua institusi Jabatan Kebajikan di negeri ini bermula semalam dan berakhir hari ini.

Menurutnya, peserta yang terdiri daripada berbilang kaum dan berusia 15 hingga 25 tahun itu akan berentap dalam lapan acara sukan utama yang diadakan.

“Kejohanan kali ini akan diadakan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos yang mana melibatkan lebih 200 sukarelawan dan urus setia bagi memastikan program tersebut berjalan lancar.

“Semua sukarelawan ini telah dilatih dalam Kursus Kepegawaian dan Kesukarelaan Special Olympics Mac lalu di Kota Tinggi bagi memastikan mereka memahami objektif penganjuran dan menangani sebarang masalah,” katanya pada Majlis Makan Malam dan Sambutan Hari Raya Special Olympics 2012, di sini, kelmarin.

Majlis tersebut turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Kesihatan negeri, Dr Robia Kosai.

Lapan acara sukan tersebut melibatkan acara lompat jauh, lompat berdiri, lontar peluru, bola sepak tujuh sebelah, bocce, larian 100 meter, larian 200 meter dan larian 4x100.

Ia diadakan di tiga lokasi berbeza iaitu stadium, Padang Iskandar Kampung Melayu dan di Padang Taman Sinar Harapan Jubli.

Khadijah berkata, kejohanan tersebut disertai oleh semua OKU masalah pembelajaran daripada Program Pemulihan Dalam Komuniti, Pelatih Institusi JKM dan pelajar Pendidikan Khas di seluruh negeri ini.

“Ia sebagai program dwi tahunan dan semoga ia berjalan lancar dan mencapai sasaran dan melahirkan atlet OKU yang berkualiti selain membantu mereka membina keyakinan diri,” katanya.