"TAHNIAH dan selamat maju jaya Eky," Itu reaksi ketua jurulatih PKNP FC, Abu Bakar Fadzim berhubung pemergian kapten pasukan, Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi yang menerima tawaran untuk beraksi dengan kelab Divisyen Thailand,  Nakhon Ratchasima FC.

Abu Bakar berkata, biarpun agak berat untuk melepaskan Shahrel Fikri, namun dirinya tetap positif dan berharap agar pemergian itu memberikan manfaat terutamanya untuk masa depan pemain berkenaan dalam sukan bola sepak.

Malah menurutnya, setelah sekian lama beraksi dalam saingan bola sepak tempatan, sudah tiba masanya untuk Shahrel Fikri berkelana dan menimba ilmu bersama pasukan lain.

"Demi bakat, masa depan, mencari ilmu untuk negara, negeri dan pasukan PKNP FC,  saya dengan rela hati melepaskan Sharel Fikri untuk merantau memperagakan bakat beliau selaku pemain pertama anak jati perak mengikat kontrak dengan kelab divisyen satu Thailand.

"Saya yakin ini akan memberikan manafaat kepada pembangunan bolasepak Malaysia selain menjadi contoh dan ikutan pemain-pemain muda yang berbakat di Malaysia untuk mencuba nasib di luar negara,"  katanya kepada *Sinar Harian.*

Sementara itu Abu Bakar berkata, PKNP FC kini  sedang giat mempersiapkan pasukan bagi aksi separuh akhir kedua Shopee Piala FA selain baki saingan Unifi Liga Super.

Katanya, walaupun tanpa kelibat Shahrel Fikri, namun persiapan tetap akan diteruskan dengan kesebelasan sesia ada.

"Walaupun kita dalam  persiapan untuk saingan r separuh akhir kedua Piala FA dan baki perlawanan Liga Super, walaupun berat, saya merelakan setelah saya memberi pandangan dan nasihat saya melepaskan beliau demi bolasepak malaysia dan masa depan beliau.

"Mungkin inilah peluang sekali seumur hidup.  Inilah masa untuk beliau keluar merantau setelah segala keazaman untuk berubah berusaha keras dalam latihan dengan semangat tidak pernah putus asa percaya kepada usaha dan ikhlas dlm menjalankan tugas selaku ketua pasukan yag saya lantik selama dua tahun bersama PKNP FC bermula daripada saingan Liga FAM, Liga Perdana dan kini Liga Super. Inilah hasilnya," katanya.