KEKALAHAN 1-4 skuad bawah 23 (B-23) negara di tangan Iraq, pada aksi pembukaan kumpulan C Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B23 semalam, bukanlah sesuatu yang memalukan.

Bekas pengendali skuad kebangsaan, Wan Jamak Wan Hassan berkata, tidak banyak cacat cela atau kekurangan besar yang dipamerkan skuad B23 negara dalam perlawanan itu.

Bagaimanapun, beliau mengakui kemampuan Iraq tidak boleh diragui memandangkan bekas juara edisi 2013 itu, berada di tahap yang jauh lebih tinggi berbanding skuad negara.

"Bagi saya, secara keseluruhan prestasi pemain negara bagus dan tidak banyak cacat cela.

"Tetapi kita cuma kekurangan dari segi kepantasan larian dan hantaran bola yang berkualiti yang mana Iraq mempunyai kedua-dua kualiti ini.

"Kalau kita dapat lihat, Iraq banyak bergerak dari bawah dan berjaya melepasi pemain-pemain kita dalam situasi tiga lawan tiga dan kadang-kadang empat lawan tiga.

"Delivery passing in between sewaktu ancaman menyerang itu yang membuatkan mereka berada di satu tahap lebih tinggi dari kita," katanya.

Pada masa sama, Wan Jamak turut memuji persembahan yang ditampilkan Akhyar Rashid yang dimasukkan di separuh masa kedua.

Menurutnya, kemasukan pemain muda Kedah itu banyak mengubah corak serangan skuad B23 negara sehingga berjaya menghasilkan satu gol yang disempurnakan Safawi Rasid.

"Dia (Akhyar) sangat berani untuk membuat percubaan. Itu yang saya nampak berbanding apa yang dilakukan N Thanabalan yang hanya banyak berlari dan berlari tetapi tidak memberi impak untuk pasukan," katanya.

Menjelang perlawanan kedua bertemu Jordan nanti, Wan Jamak mengharapkan segala kelemahan yang ada dapat diperbaiki anak buah Datuk Ong Kim Swee agar dapat memperoleh keputusan yang positif di kejohanan ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :