KUALA TERENGGANU – Pas meminta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat siasatan sehingga ke akar umbi berhubung masalah yang berlaku di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang belum selesai sehingga kini.

Pas Terengganu melalui beberapa wakilnya iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Adun Bukit Tunggal yang juga Timbalan Pesuruhjaya Pas Terengganu, Dr Alias Razak dan Adun Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah telah memperbaharui semula laporan kepada SPRM berhubung punca keruntuhan bumbung stadium.
 
Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi yang juga Penolong Setiausaha Agung Pas memberitahu, pihaknya turut membuat laporan tambahan berhubung kes kecurian peralatan bernilai RM50 juta supaya perkara itu turut juga disiasat dan diambil tindakan. 
 
“Kita kemas kini laporan dan memohon kepada SPRM untuk menjalankan siasatan rapi (berhubung runtuhan bumbung stadium) dan (laporan) tambahan kepada isu kecurian yang dianggarkan RM50 juta sebagaimana dilaporkan media tempatan,” katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan laporan tersebut kepada kakitangan SPRM di pejabat SPRM Terengganu di Wisma Persekutuan, di sini, semalam. 
 
Turut hadir, Pengarah Penerangan Pas Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Negeri Terengganu (DPPNT), Kamaruzaman Abdullah, Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas Kuala Terengganu, Wan Mohd Faizul Wan Abas, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas, Dr B Chandran dan Pengerusi DAP Terengganu, Ng Chai Heng.
 
Sementara itu, Mohd Nor yang juga Ketua DPPNT turut melahirkan rasa kesal dan kecewa dengan kes kecurian itu menganggap tiada pengawalan sepatutnya sehingga set jana kuasa sebegitu besar mampu dicuri.
 
Beliau turut mendakwa, keadaan itu memperlihatkan kelemahan tadbir urus di peringkat pengurusan Kerajaan Negeri.
 
Dr Alias Razak ketika ditemui media pula turut mengesyaki ada sesuatu tidak kena dalam pengurusan kerajaan ketika ini, sehingga kerosakan stadium masih tidak dibaiki sehingga kini dan lebih malang peralatan stadium yang mahal turut dikebas.
 
“Kita harap SPRM buat siasatan dan mencari punca. Jika ada terlibat, bawa ke pengadilan supaya rakyat berpuas hati atas (kehilangan) duit mereka sebanyak RM290 juta,” katanya.
 
Dalam sidang media yang sama, pihaknya turut meminta SPRM menyiasat berhubung Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dianggap mempunyai unsur rasuah kerana peruntukkan yang diluluskan kerajaan didakwa telah dipolitikkan Umno dan Barisan Nasional (BN).

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.