PETALING JAYA - Perlawanan amal SINAR4ROHINGYA antara Super Lawak FC menentang Pilihan Sinar Harian/Smart Selangor, malam kelmarin, berjaya meraih dana kira-kira lebih RM10,000 untuk disalurkan kepada pelarian etnik Rohingya.

Perlawanan amal anjuran Kelab Generasi Sahabat Dinamik Malaysia (Genesis) dan Sinar Harian ini, bertujuan mengumpulkan dana bagi tabung SINAR4ROHINGYA yang diselaraskan oleh Sinar Harian.

Selain itu, Menteri Besar Incorporated (MBI) Selangor turut bekerjasama bagi menjayakan program amal ini.

Dalam perlawanan tersebut, Super Lawak FC berjaya menewaskan Pilihan Sinar Harian/Smart Selangor dengan keputusan 10-4.

Selain menyaksikan perlawanan amal tersebut, penonton turut disajikan dengan persembahan selebriti tempatan iaitu Ronnie Hussin dan Nabila Razali.

Wang hasil kutipan jualan pas, masuk bagi perlawanan amal ini akan disalurkan terus ke tabung SINAR4ROHINGYA dalam usaha bagi membantu mangsa pelarian di sana.

Antara tetamu kehormat yang hadir bagi menyaksikan perlawanan tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Raja Shahreen Raja Othman dan Timbalan Pengerusi Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah.

Ketika ditemu bual, Muhammad Nasir berkata, pihaknya berpuas hati dengan kehadiran penonton sekitar 2,000 orang yang hadir bersama-sama bagi menyaksikan perlawanan amal tersebut.

Beliau memberitahu, program sebegini adalah untuk membantu masyarakat etnik Rohingya yang kini sedang ditindas dengan begitu zalim oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Ini bukan soal agama atau bangsa, namun ia melibatkan isu penindasan dan kemanusiaan.

“Oleh sebab itu, semua pihak perlu memainkan peranan bagi menyokong dan membantu mereka yang memerlukan di sana,” katanya.

Kata beliau, pihaknya menghargai kehadiran penonton dan berharap agar kerjasama sebegini dapat diteruskan lagi selepas ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :