TAN Sri Annuar Musa menolak pencalonan untuk bertanding jawatan presiden pada kongres pemilihan Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang akan berlangsung pada 17 September ini.

Biarpun turut mendapat pencalonan, namun bekas Presiden Kafa itu dipetik menerusi laman sosialnya hari ini, mengesahkan beliau tidak akan kembali semula ke kerusi nombor satu itu setelah meletak jawatan, November tahun lalu.

Menurutnya, keputusan untuk tidak bertanding dibuat bagi memberi laluan kepada muka baru selain merasakan beliau sudah terlalu lama menerajui badan induk bola sepak negeri itu.

“Difahamkan nama saya masih dicalonkan untuk presiden Kafa dan ada beberapa nama lain (turut dicalonkan). Usah kecewakan pencinta bola sepak Kelantan yang sudah lama berjuang untuk saya tidak memimpin Kafa.

“Saya tidak perlu bertanding kerana saya yakin ramai yang lain boleh buat lebih baik daripada saya. (Tempoh) 10 tahun sudah cukup lama, dalam jangka masa itu saya lalui suka duka dan masak dengan pelbagai masalah bola sepak (menaja Kelantan),” katanya.

Menerusi entri tersebut, Annuar memberitahu, walaupun pada tahun ini beliau tidak memegang apa-apa jawatan namun beliau secara sukarela tetap mengusahakan mencari dana berjumlah RM8 juta menerusi konsortium penajaan diterajuinya.

“(Tetap membantu Kafa) sehingga saya digantung dalam Mara kerana bola sepak Kelantan yang akhirnya saya memilih untuk berhenti susulan beberapa peristiwa (kontroversi penajaan pasukan bola sepak Kelantan) dalam agensi kerajaan itu.

“Semua saya reda demi TRW (The Red Warriors) yang saya lahirkan dan kini biarlah Kafa tanpa (dipimpin oleh) saya. Saya percaya seperti mana suara peminat lain, Kafa dan bola sepak Kelantan akan bertambah baik dan kuat dengan kehadiran tokoh-tokoh baru. Selamat memilih saf kepimpinan Kafa yang baru,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.