SELEPAS disisihkan hampir enam bulan akibat kecederaan lutut, pemain skuad Bawah 22 tahun (B-22) negara Ahmad Khairil Anuar Zamri berazam mahu kembali merebut tempat dalam pasukan ke Kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di China, Januari depan.

Ahmad Khairil, 22, lebih dikenali dengan panggilan Beto dalam kalangan rakan dan pihak media, adalah antara 30 pemain disenaraikan ketua jurulatih Datuk Ong Kim Swee hari ini bagi menyertai kem latihan pusat bermula Isnin depan.

Katanya peluang keemasan itu akan digunakan sebaik mungkin untuk membuktikan kemampuannya.

Beto menyifatkan panggilan tersebut adalah tanda kepercayaan ketua jurulatih skuad B-22 itu terhadap kebolehan dimilikinya meskipun gagal membuktikannya pada pusingan Kelayakan Piala AFC B-23, Julai lepas dan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017) susulan kecederaan dialaminya.

“Saya sangat gembira apabila dipanggil semula menyertai kem latihan skuad B-22 kebangsaan selepas hampir enam bulan disisihkan akibat kecederaan yang menyaksikan saya terlepas peluang membantu pasukan pada pusingan kelayakan dan Sukan Sea.

“Tahap kecergasan saya kini berada pada tahap terbaik dan saya sudah bersedia merebut tempat dan berazam mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih dengan membuktikan saya berhak mendapat tempat  dalam skuad negara,” katanya kepada Bernama hari ini.

Menurut Beto, kecederaan lutut dialaminya itu tidak sesekali mematahkan semangatnya untuk kembali menyarung jersi kebangsaan, sebaliknya beliau berusaha gigih setiap hari demi memastikan tahap kecergasannya pada tahap terbaik menjelang kejohanan tersebut.

“Sebelum ini, saya tidak pernah terlepas mewakili skuad negara dan kecederaan lutut dialami itu satu yang pahit dalam karier saya. Saya sedih kerana tidak dapat membantu pasukan tetapi pada masa sama, saya menumpukan sepenuhnya fokus kepada proses pemulihan,” katanya.

Dalam pada itu, Beto mengesahkan beliau akan terus menabur bakti bersama negeri kelahirannya, Perak pada saingan Liga Super musim depan, meskipun mengakui terdapat beberapa pasukan yang berminat mahu mendapatkan khidmatnya.

“Terdapat tiga pasukan, dua daripada Liga Super dan satu daripada Liga Perdana ada menyatakan hasrat tetapi buat masa ini saya mahu terus kekal bersama Perak dan membantu pasukan memburu kejayaan pada musim akan datang,” katanya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BEKAS pemain bola sepak kebangsaan era 70-an Wan Zawawi Wan Yusof, meninggal dunia di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan awal pagi tadi akibat pendarahan di dalam perut.
  • MAIN bola sepak kerana duit bukan demi mempertahankan maruah negara itulah perspektif lagenda bola sepak kebangsaan, Datuk Santokh Singh terhadap penampilan pemain hari ini.