AHAD ini wakil Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) akan memilih barisan kepimpinan baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) untuk penggal 2017-2021 dalam Kongres Agung Tahunan Ke-63.

Menariknya kongres kali ini boleh dianggap paling sengit dalam sejarah apabila jawatan tertinggi persatuan itu dipertandingkan.

Naib Presiden Kafa, Datuk Muhammad Nasir Hamzah antara watak menawarkan diri mengemudi badan induk bola sepak Kelantan itu hadir dengan misi membawa pembaharuan menyeluruh.

Ikuti temubual eksklusif wartawan Sinar Harian MOHAMAD FAZRUL ABDUL MAJID bersama calon Presiden Kafa itu mengenai aspirasi, misi dan visi beliau menjelang pemilihan berkenaan.

Kenapa Datuk memilih bertanding jawatan presiden pemilihan kali ini?

Tujuan saya bertanding adalah untuk membawa pembaharuan kepada Kafa. Maksud perubahan saya ialah total change iaitu perubahan menyeluruh bukan hanya dari satu segi tapi adalah secara keseluruhan.

Kita nak jadikan Kafa yang berwajah baharu, yang serba maju, berdaya saing, boleh membawa balik semangat penyokong dan rakyat Kelantan untuk menyokong kembali The Red Warriors (TRW).

Kita nak suruh rakyat Kelantan kembali menyokong dan bangga memakai jersi TRW. Sekarang orang sudah tak berapa minat sebab memang dah jadi naluri manusia tidak sukakan kejatuhan dan kemunduran pasukan bola sepak mereka. Insya-ALLAH saya akan kembalikan zaman kegemilangan bola sepak Kelantan jika terpilih menjadi Presiden Kafa.

Jawatan Presiden Kafa sudah dikosongkan agak lama. Kenapa Datuk memilih bertanding sekarang?

Seperti yang saya jelaskan, saya masuk bertanding jawatan ini oleh kerana jawatan itu kosong. Bila jawatan kosong dan nampak tiada orang berminat, maka saya tawarkan diri kerana saya sayangkan Kafa dan saya rasa saya berupaya membimbing skuad Kelantan dan Kafa ke arah kecemerlangan.

Sebab itu saya harap saya tidak perlu bersaing untuk jawatan ini. Saya memang berharap jawatan ini diserahkan kepada saya. Berilah peluang kepada saya kerana saya yakin saya mampu mentadbir dan beri satu nafas baru dalam pentadbiran Kafa.

Bagaimana cara menarik lebih ramai penaja menaja Kafa jika Datuk terpilih menjadi presiden?

Sebenarnya, dari segi penajaan sepatutnya itu yang menjadi agenda utama pentadbiran mana-mana pasukan, Kafa juga tidak terkecuali. Saya rasa, di Kafa ini sendiri sekiranya saya diberi tanggungjawab memegang jawatan ini, maka tugas utama saya adalah untuk cari penaja.

Ini kerana, tanpa penajaan, kita tak dapat membiayai seluruh operasi Kafa itu. Jadi, penajaan perkara paling penting untuk pasukan. Kalau lihat kelab Eropah, mereka mendapat penajaan berbilion-bilion ringgit. Sebab itulah mereka boleh membeli pemain terbaik dengan harga mahal hasil duit penajaan itu.

Untuk makluman, sejak saya menawarkan diri bertanding jawatan ini, sudah ada beberapa syarikat yang memberi jaminan mereka mahu menaja skuad Kelantan jika saya terpilih menjadi Presiden Kafa.

Dan ada juga sebuah syarikat multinasional yang berhasrat untuk menambah penajaan kepada skuad Kelantan jika saya menyandang kerusi presiden nanti.

Ini kerana mereka (penaja) mahukan pembaharuan. Mereka mahu melabur kepada orang yang mereka yakin. Sebab itulah saya berulang-ulang kali menyatakan bagilah kepada saya jawatan ini.

Tak perlu bertanding dan beri peluang kepada saya. Kalau di kemudian hari saya tak boleh buat kerja, suruh sahaja saya meletakkan jawatan dan saya akan lakukan. Saya bukannya orang yang gilakan jawatan. Cuma saya ingin membantu rakyat Kelantan dan TRW.

Apakah fokus yang ingin di bawa dalam Kafa jika menang jawatan Presiden?

Fokus utama saya ialah untuk melihat kedudukan kewangan Kafa. Saya perlu melihat hutang-hutang yang perlu dilangsaikan. Hutang kepada pemain dan sebagainya. Kerana tugas membayar hutang ini adalah wajib.

Tidak kira dalam apa keadaan sekali pun. Kalau kita tidak boleh bayar semua, kita bayar mengikut peringkat sehingga semuanya selesai. Sebab itulah saya akan meletakkan fokus utama dalam soal pengurusan kewangan jika dipilih menjadi presiden.

Perlu ingat, di dunia ini, semua pasukan tidak terkecuali daripada terpalit masalah kewangan. Sedangkan di Eropah sekali pun, ada pasukan yang hampir muflis sebab masalah kewangan ini. Tetapi disebabkan berlaku perubahan struktur pentadbiran yang ditadbir urus secara baik dan berhemah oleh muka baharu, maka pasukan itu dapat kembali berdaya saing.

Jadi, itulah yang saya harapkan di Kafa. Memang diakui keadaan kita tidak begitu baik sekarang, tapi dengan perubahan menyeluruh dan tadbir urus kewangan yang lebih baik daripada pentadbiran baharu, insya-ALLAH kita berjaya kembalikan Kafa di tahap terbaik.

Ingin saya tekankan sekali lagi, dari segi kewangan itu jika kita bandingkan di negara kita, tiada pasukan pun yang benar-benar kukuh dari segi kewangan kecuali mereka yang ada bantuan daripada kerajaan negeri dan sebagainya.

Walaupun ada segelintir pasukan yang masih belum kukuh kewangannya dalam liga kita, tapi saya melihat masih ada pasukan yang mampu bersaing dengan pasukan yang mempunyai kewangan kukuh.

Jadi, di sini, analoginya mudah, tidak semestinya kita tidak banyak wang, kita tidak boleh menguruskan sesebuah pasukan itu. Contohnya seperti keluarga miskin yang ada 16 anak. Walaupun pendapatannya tidak seberapa, tetapi ibu bapanya masih mampu menghantar kesemua anak mereka di universiti.

Begitu juga dengan orang kaya, tidak semestinya mereka ada wang yang banyak, mereka mampu mentadbir urus kewangan dengan baik. Dia boleh muflis juga. Jadi, ianya berkisar tentang bagaimana kita mentadbir urus duit tersebut. Pengurusan kewangan yang mantap itulah yang akan kita beri penekanan utama.

Sepanjang berada di Kafa, adakah ahli Kongres sudah melakukan yang terbaik atau perlukan lebih banyak perubahan dari akar umbi?

Bagi saya, apa yang ada sekarang tidak cukup. Semua ahli yang ada di dalam Kafa memang telah melakukan kerja mereka, tetapi mungkin masih belum cukup untuk Kafa. Sebab itulah Kafa berada dalam keadaan seperti sekarang.

Kalau semua bekerja dalam satu pasukan, semua menyumbang ke arah mencari dana dan memperbetulkan apa-apa yang tidak betul, saya rasa insya-ALLAH kita tidak akan lagi berada dalam situasi yang kita ada sekarang.

Penambaikan lain yang boleh dilakukan dalam Kafa?

Macam apa yang saya katakan tadi pengurusan kewangan memang penting dan perkara lain yang lebih penting ialah pasukan dalam Kafa itu sendiri. Sebab itulah ingin saya syorkan kepada Persatuan Bola Sepak Jajahan (PBJ) yang akan mengundi nanti supaya pilih pasukan saya. Kerana saya yakin pasukan ini boleh membantu saya dalam membina semula TRW ini.

Antara perkara yang ingin saya tekankan kepada Exco saya ialah tentang pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi. Ini adalah antara perkara paling penting untuk terus memastikan bola sepak di Kelantan terus hidup.

Sebab itu saya mahukan sebuah pasukan dan Exco yang boleh bekerja. Jika boleh saya mahu membina sebuah akademi bola sepak yang ada pendidikan akademiknya, ada pendidikan bola sepaknya.

Saya yakin, di Kelantan akademi bola sepak ini akan mendapat sambutan kerana ramai ibu bapa sanggup berbelanja untuk minat anak mereka di dalam bola sepak. Dan akademi yang akan dibangunkan ini saya akan pastikan ianya dilatih oleh mereka yang professional.

Satu lagi perkara yang ingin saya beri penekanan jika saya menjadi presiden, adalah berkaitan soal kebajikan pemain.

Memang pemain-pemain bola sepak ini bergaji besar dan ada sesetengahnya yang melebihi gaji menteri. Tetapi gaji ialah gaji. Kebajikan ialah perkara yang berlainan.

Kalau pemain bergaji besar sekali pun, kebajikan mereka harus dijaga juga. Jadi, apa yang saya rancang ialah untuk membeli insurans berkelompok kepada pemainpemain ini supaya jika berlaku sesuatu kepada mereka, kewangan mereka akan terjamin daripada insurans itu.

Mungkin ada pemain yang sudah mempunyai insurans mereka sendiri, tetapi ini adalah antara penghargaan yang ingin Kafa beri kepada mereka. Tapi janji ini juga tertakluk kepada kewangan Kafa juga.

Saya tidak mahu menjanjikan bulan dan bintang, tetapi bila melihat kepada kewangan yang tidak kukuh, kita tidak mampu beri. Sebab itu paling penting ialah pucuk pimpinan tertinggi Kafa perlu beri fokus utama untuk cari penaja dan mengukuhkan lagi kewangan Kafa.

Saya juga ada berbincang dengan orangorang di belakang saya, bahawa jika saya berjaya menjadi presiden Kafa kami akan mengadakan satu tabung contingency setiap tahun. Katalah setahun kita perlukan RM14 juta, tapi kami perlu cari RM16 juta.

Jadi, baki RM2 juta itu ialah akan kami masukkan ke dalam tabung ini supaya dalam jangka masa panjang nanti jika berlaku perkara tidak diingini Kafa masih ada simpanan yang mencukupi. Jadi kami tidak perlu lagi meminta sedekah dan merayu sana sini.

Jadi, ini antara penambahbaikan yang akan saya rancang jika menjadi Presiden Kafa. Selebihnya, akan saya keluarkan dalam manifesto saya sedikit masa lagi.
 
Bagaimana cara untuk meyakinkan perwakilan memilih Datuk?

Saya memang tidak mempunyai banyak track record seperti sesetengah yang lain. Tapi apa yang boleh saya beri ialah janji saya untuk memberi satu pentadbiran yang bersih, holistik dan mantap.

Insya-ALLAH jika diberi peluang, saya akan tentukan Kafa ini bebas dari unsur-unsur yang tidak sihat, terutama dari segi pentadbiran dan isu-isu kewangan yang tidak betul. tapi saya tidak boleh melakukan ini seorang diri. Saya memerlukan sebuah pasukan dan Exco yang mempunyai jiwa yang sama dengan saya untuk bawa satu pembaharuan yang menyeluruh di dalam Kafa.

Kita tidak mahu bawa jiwa baharu, tapi masih kekal dengan perangai lama. Ini yang memang kita mahu elakkan. Insya-ALLAH jika diberi kesempatan, saya nak lantik Exco-exco saya dan mahu berikan mereka satu akujanji bahawa mereka akan bertugas sepenuh jiwa demi bola sepak Kelantan.

Saya amat serius terhadap perkara ini kerana saya terikat dengan rakyat Kelantan. Jutaan rakyat Kelantan ini ialah bos saya dan saya perlu bertanggungjawab terhadap mereka semua.

Sebab itu saya mahukan sebuah pasukan yang berkredibiliti yang mampu menggalas tugas membangunkan kembali bola sepak Kelantan.

Bagaimana hubungan Kafa bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)?

Insya-ALLAH kalau saya menang, saya akan menentukan satu jalinan hubungan yang baik bersama FAM kerana kita tidak boleh lari daripada bekerjasama dengan FAM.

Kita adalah badan bersekutu di bawah FAM dan FAM ialah tauke kita. Saya amat harap FAM beri kerjasama yang baik kepada saya untuk menentukan perjalanan pentadbiran di Kafa untuk memudahcara supaya tidak ada masalah-masalah dari segi pendaftaran pemain, pendaftaran pasukan itu sendiri dan sebagainya.

Dan saya amat menghormati Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim selaku presiden FAM dan insya-ALLAH saya sanggup bersedia bekerjasama dengan TMJ dan saya harap TMJ juga bersedia untuk bekerjasama dengan saya jika saya dipilih menjadi Presiden Kafa.

Kelab penyokong, pemain dan beberapa bekas jurulatih Kelantan menyokong Datuk, komen Datuk?

Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka kerana saya pun terharu sebenarnya. Kalau diukur dalam dunia bola sepak ini, saya seorang insan yang teramat kerdil. Jadi sokongan seperti inilah yang menjadikan saya terasa besar dan dihargai.

Dan insya-ALLAH jika saya diberi tanggungjawab ini, saya berjanji untuk menjaga kepentingan peminat-peminat bola sepak, kelab penyokong dan juga PBJ yang mengundi nanti.

Apakah fokus yang ingin dibawa dalam Kafa jika menang jawatan presiden?

Fokus utama saya ialah untuk melihat kedudukan kewangan Kafa. Saya perlu melihat hutang-hutang yang perlu dilangsaikan. Hutang kepada pemain dan sebagainya.

Kerana tugas membayar hutang ini adalah wajib. Tidak kira dalam apa keadaan sekali pun. Kalau kita tidak boleh bayar semua, kita bayar mengikut peringkat sehingga semuanya selesai.

Sebab itulah saya akan meletakkan fokus utama dalam soal pengurusan kewangan jika dipilih menjadi presiden.

Perlu ingat, di dunia ini, semua pasukan tidak terkecuali daripada terpalit masalah kewangan. Sedangkan di Eropah sekali pun, ada pasukan yang hampir muflis sebab masalah kewangan ini. Tetapi disebabkan berlaku perubahan struktur pentadbiran yang ditadbir urus secara baik dan berhemah oleh muka baharu, maka pasukan itu dapat kembali berdaya saing.

Jadi, itulah yang saya harapkan di Kafa. Memang diakui keadaan kita tidak begitu baik sekarang, tapi dengan perubahan menyeluruh dan tadbir urus kewangan yang lebih baik daripada pentadbiran baharu, insya-ALLAH kita berjaya kembalikan Kafa di tahap terbaik.

Ingin saya tekankan sekali lagi, dari segi kewangan itu jika kita bandingkan di negara kita, tiada pasukan pun yang benar-benar kukuh dari segi kewangan kecuali mereka yang ada bantuan daripada kerajaan negeri dan sebagainya.

Walaupun ada segelintir pasukan yang masih belum kukuh kewangannya dalam liga kita, tapi saya melihat masih ada pasukan yang mampu bersaing dengan pasukan yang mempunyai kewangan kukuh.

Jadi, di sini, analoginya mudah, tidak semestinya kita tidak banyak wang, kita tidak boleh menguruskan sesebuah pasukan itu. Contohnya seperti keluarga miskin yang ada 16 anak.

Walaupun pendapatannya tidak seberapa, tetapi ibu bapanya masih mampu menghantar kesemua anak mereka di universiti. Begitu juga dengan orang kaya, tidak semestinya mereka ada wang yang banyak, mereka mampu mentadbir urus kewangan dengan baik.

Dia boleh muflis juga. Jadi, ianya berkisar tentang bagaimana kita mentadbir urus duit tersebut. Pengurusan kewangan yang mantap itulah yang akan kita beri penekanan utama.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.