KETUA jurulatih bola sepak kebangsaan dinasihat supaya beri tumpuan latihan kepada pemain yang hadir ke kem latihan pusat, kata Timbalan Presiden Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM) Datuk Yusoff Mahadi.

“Daripada menunggu sesuatu yang belum pasti, lebih baik tumpu sahaja pada pemain sedia ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), di Kelab Golf Seri Selangor, Kota Damansara, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas situasi malang yang menimpa Ketua Jurulatih Kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee selepas gagal menghimpunkan pemain utama skuad Bawah 22 (B-22) menjelang saingan kelayakan Kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) B-23 2018 di Bangkok, Thailand pada 19 Julai ini.

Katanya, seramai tujuh pemain baharu sudah dipanggil bagi mengisi kekosongan tersebut dan kini fokus FAM hanya tertumpu kepada usaha mempersiapkan pasukan itu yang turut membawa cabaran negara pada temasya Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini.

Tujuh pemain baharu itu termasuk tiga pemain Negeri Sembilan; Sea Eugene Selvaraj, L Kalaiharasan dan Fauzan Fauzi diikuti Faridzuean Kamaruddin (Sime Darby), Ahmad Solehin Mamat (Kuala Lumpur), Nur Shamie Iszuan Amin (Sarawak) dan Akhyar Rashid (Kedah).

“Mungkin Kim Swee masih mengharapkan pemain-pemain utamanya itu dapat datang tetapi ia bukan lagi misi utama pasukan. Kita sudah pun mempunyai pemain yang lengkap untuk beraksi di Bangkok jadi lebih baik kita titik beratkan soal kejohanan.

“Semangat bermain untuk negara itu yang penting. Saya lihat pemain baharu yang kita panggil ini mempunyai semangat juang yang tinggi dan kualiti yang tidak kurang hebatnya daripada pemain yang dipanggil sebelum ini,” kata Yusoff.

Pasukan negara yang diundi berada dalam Kumpulan H dijadual bertemu Indonesia pada aksi pembukaan 19 Julai ini dan Thailand pada 21 Julai sebelum membuat perhitungan bersama Mongolia pada 23 Julai untuk melengkapkan kempen kelayakan tersebut.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PENGARAH Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Peter De Roo memilih untuk berdiam diri ketika diminta mengulas keputusan satu mesyuarat khas FAM berhubung prestasi buruk pasukan kebangsaan ketika ini.
  • KELAB Penyokong Bola Sepak Kedah mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berterus terang dan mengeluarkan kenyataan sama ada Kedah boleh bermain dalam kejohanan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) musim depan atau tidak.
  • PERKONGSIAN Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) meminta semua pihak menunggu kenyataan rasmi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) berhubung keputusan dua kelab yang akan beraksi dalam saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) tahun depan.
  • STATUS Lesen dari Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) untuk Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) bagi membolehkan mereka beraksi pada Piala AFC 2018 masih menjadi tanda sehingga hari ini.
  • PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) dijangka bakal mewujudkan Liga Divisyen Empat sebagai usaha produktif dalam memacu perkembangan pemain muda di negara ini, lapor SHAFIQ TINO.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.