KETUA jurulatih baru kebangsaan, Tan Cheng Hoe perlu diberi peluang membuktikan kemampuannya mengemudi pasukan Harimau Malaya.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, bekas jurulatih Kedah itu perlu diberi ruang menyesuaikan diri dahulu dan buktikan bahawa beliau merupakan pilihan tepat.

“Saya yakin dia memiliki pengalaman luas dan sebagai jurulatih tempatan, dia memiliki kelebihan mengetahui selok-belok pemain.

“Saya percaya pemilihan Cheng Hoe yang terbaik, walaupun FAM cuba dengan Nelo Vingada, tapi kita harus akur kerana dia sendiri merasakan tidak mampu memenuhi KPI ditetapkan.

"Apa pun, saya doakan dengan beberapa kejohanan penting tahun depan dapat dibuktikan Cheng Hoe bahawa jurulatih tempatan juga memiliki kebolehan mengendalikan skuad kebangsaan," katanya.

Cheng Hoe dilantik secara rasmi sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya menggantikan Nelo Vingada yang meletak jawatan selepas tujuh bulan membimbing skuad kebangsaan.