CALON presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Datuk Muhammad Nasir Hamzah membayangkan bentuk perubahan yang akan dilakukan dengan mewajibkan barisan kepimpinan baru menandatangani surat letak jawatan, sekiranya beliau menang pada kongres pemilihan persatuan itu, Ahad ini.

Muhammad Nasir berkata, semua ahli jawatankuasa eksekutif terpilih perlu mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan selepas menandatangani surat perakuan tersebut atau bersedia mengosongkan jawatan pada bila-bila masa.

Malah menurutnya, beliau, timbalan dan naib presiden juga tidak terkecuali berbuat demikian bagi membuktikan semua individu dalam persatuan itu memikul tanggungjawab sama rata selepas mendapat mandat daripada ahli gabungan.  

“Semua ahli majlis Kafa mesti tandatangani surat itu. Kalau tak boleh tingkatkan prestasi, mereka kena pergi (lepas jawatan). Kita nak orang yang bekerja, bukan orang yang memanaskan kerusi yang sudah panas.

“Kerusi presiden itu pun dah panas, jadi Exco juga tak perlukan panaskan lagi kerusi mereka. Kita mahu orang itu (Exco) bekerja dan menyumbang kepada kemajuan bola sepak Kelantan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau berkata, perubahan tersebut dilakukan kerana beliau mahu menukar sistem pengurusan badan induk itu selain berazam menyingkirkan ‘penumpang’ yang sekadar menumpang populariti tanpa menyumbang apa-apa kepada bola sepak negeri itu.   

“Tidak harus ada penumpang, sebab itu saya bercakap dengan individu yang nak jadi ‘orang Kafa’ sejauh mana komitmen mereka, kalau tak boleh beri (bekerja) lebih baik tidak bersama saya,” katanya.

Mengulas mengenai manifesto beliau, Muhammad Nasir yang merupakan Timbalan Pengerusi Kumpulan Media Karangkraf memberitahu, ia adakan diumumkan dalam masa terdekat.

“Manifesto ini dirangka oleh pakar-pakar yang terlibat secara langsung dan tak langsung dalam bola sepak. (Penglibatan) ada (idea) peminat, pemain, golongan profesional yang terlibat dalam pentadbiran bola sepak.

“Saya yakin ia akan diterima oleh peminat dan boleh memacu TRW (The Red Warriors) ke arah lebih baik pada masa akan datang,” katanya.

Saingan merebut kerusi nombor satu persatuan itu berkemungkinan besar menyaksikan pertembu-ngan satu lawan satu di antara Muhammad Nasir menentang ahli perniagaan, Bibi Ramjani Ilias Khan setelah dua lagi calon iaitu Naib Presiden Kafa, Datuk Rosmadi Ismail dan Pengarah Urusan Chengal Jati Sdn Bhd, Datuk Ir Shaari Hassan dijangka menarik diri.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • BEKAS pemain Kelantan, Salim Mahmud Muhaidin mengkritik Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengendalikan persiapan membentuk pasukan itu untuk menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) akan menyemak baki tempoh kontrak pemain muda Kelantan yang kini diintai beberapa kelab yang berhasrat mendapatkan khidmat mereka untuk beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) meminta penaja yang masih mempunyai tunggakan penajaan agar menyelesaikan wang tajaan berkenaan bagi membolehkan pihak pengurusan persatuan itu melunaskan baki tunggakan gaji pemain Kelantan.
  • PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Bibi Ramjani Ilias Khan menegaskan, Kelantan tidak akan mengibar bendera putih ketika pasukan pantai timur itu semakin hampiri ambang penyingkiran ke kancah Liga Perdana musim depan.
  • PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) hari ini melunaskan kesemua tunggakan gaji pemain dan pegawai pasukan Kelantan bagi Julai dan Ogos.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.