JURULATIH Johor Darul Ta'azim (JDT), Benjamin Mora yang memulakan tugas sejak Januari lepas, akan kembali melatih skuad Johor Darul Ta'zim II (JDT II) ketika baki saingan Liga Malaysia akan bersambung bulan depan.

Pengarah Sukan JDT, Alistair Edwards mengesahkan perkembangan terbaru itu dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebook kelab berkenaan, Johor Southern Tigers, hari ini.

Menurut beliau, Mora akan kembali kepada peranan asalnya selaku ketua jurulatih JDT II kerana jurulatih berusia 51 tahun itu hebat dalam tugas menyediakan pemain muda untuk pasukan utama.

"Pemain muda yang dapat kita lihat pada masa ini seperti Fazly Mazlan, Dominic Tan, Afiq Fazail, dan Hadi Fayyadh," katanya.

Dalam pada itu, Edwards berkata pihaknya akan mengumumkan nama ketua jurulatih baharu JDT dalam masa terdekat ini.

"Pada masa ini, Ismail Ibrahim dan Raul Longhi akan memikul sementara tugas jurulatih ini," katanya.

Untuk rekod, skuad Harimau Selatan itu membawa masuk dua muka baharu iaitu Mohammed Ghaddar dari Lubnan dan pemain yang berasal dari Sepanyol, Ignacio Insa Bohigues bagi menghadapi baki saingan Liga Super.

Insa merupakan tonggak penting Lavente (Liga Sepanyol) ketika pasukannya berjaya dipromosi ke saingan La Liga pada musim 2017/2018. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KETUA jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mahu pasukan sentiasa mengekalkan aura positif ketika berdepan T Team dalam aksi Liga Super di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin, malam ini.
  • KURANG 48 jam sepak mula musim 2017, kelab Johor Darul Ta'zim (JDT) mengumumkan pelantikan jurulatih baharu untuk mengemudi pasukan itu.
  • KETUA Jurulatih Johor Darul Ta'zim II (JDT II), Benjamin Mora mengakui akan bertanggungjawab atas dua kekalahan pasukan kendaliannya dalam Liga Perdana.
  • PASUKAN Liga Perdana, Johor Darul Ta'zim II (JDT II) melakukan persiapan awal menghadapi Liga Malaysia (Liga-M) 2016 apabila melantik jurulatih kelahiran Mexico, Benjamin Mora sebagai pengendali baharu skuad itu.