KEMEROSOTAN ketara prestasi skuad Singa Utara cukup dirasakan oleh penyokongnya lebih-lebih lagi bekas pemain yang pernah menyarung jersi tersebut dalam membawa cabaran Perlis di peringkat negara, lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Antara bekas pemain yang tidak senang duduk melihat perkara itu adalah bekas penjaga golnya, Jalaludin Kamarudin yang beraksi dari 1965 hingga 1982.

Menurutnya, berada di tangga tercorot Liga Perdana dengan mengumpul dua mata selepas lapan perlawanan menyaksikan banyak perkara perlu dilakukan jika mahu memastikan pasukan tersebut kembali mencabar dan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) sendiri juga perlu melakukan tindakan drastik agar pasukan tidak jatuh ke saingan Piala FAM tahun depan.

“Jika ditanya tentang perasaan sekarang memang cukup kecewa malah saya juga percaya kebanyakan bekas pemain Perlis juga kecewa dengan prestasi semasa yang dipamerkan.

“Dalam pada itu, kami juga tertanya-tanya di manakah kekuatan semasa pasukan kerana ia tidak dibarisi oleh anak jati negeri ini malah pembangunan di peringkat akar umbi tidak kelihatan dan Perlis juga tidak menghantar pasukan bawah 22 tahun bertanding di peringkat Piala Presiden 2017,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Disebabkan terlalu banyak persoalan timbul, beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Persatuan Bekas Pemain Perlis berkata, satu wacana khas akan diadakan melibatkan bekas pemain negeri itu antaranya Bakri Ibni, Norizan Bakar, Ali Osman, Salim Topel Mohamad dan Saidin Osman.

Menurutnya, pihak berkaitan dari kerajaan negeri, PFA dan Majlis Sukan Negeri Perlis akan dijemput untuk mencari jalan membantu meningkatkan kembali zaman kegemilangan Singa Utara.

“Semua pihak perlu mengembleng tenaga dan idea untuk menyelamatkan maruah pasukan Perlis malah kami di kalangan bekas-bekas pemain sedia untuk berkongsi pengalaman sekiranya diminta pada bila-bila masa,” katanya.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.