PROGRAM Siri Penjelajahan Klinik Latihan AirAsia-Queens Park Rangers (QPR) beri peluang kepada pemain terbaik dalamkalangan anak perajurit Angkatan Tentera Malaysia ke Akademi QPR di London.

Pengerusi Eksekutif AirAsia Berhad, Datuk Kamarudin Meranun berkata, enam jurulatih daripada QPR Trust Team akan memilih seorang pemain terbaik daripada keseluruhan, 65 pemain.

"Program hari ini kita bawa jurulatih daripada QPR ke Malaysia dan melatih anak-anak ATM yang berbakat dalam bidang bola sepak supaya kita dapat mengetengahkan bakat mereka yang berminat. Ia juga bagi memberi peluang kepada mereka melihat cara QPR melatih pemain profesional di England.

"Mereka diajar cara-cara bermain dengan teknik yang betul serta cara memanaskan badan yang lebih tepat sebelum mula bermain, supaya permainan mereka jadi lebih mantap," katanya kepada pemberita semasa sesi klinik latihan di Kompleks Sukan Kementerian Pertahanan (Kementah), di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata pihaknya sebelum ini sudah menyelesaikan siri jelajah ke China serta Thailand dan akan mengadakan program serupa di Kota Kinabalu, Sabah.

Kamarudin berkata, mereka akan memilih seorang pemain terbaik dari setiap klinik latihan yang dianjurkan untuk dibawa ke London bagi tujuan pendedahan peringkat awal.

Sementara itu, Pengarah College Football Academy Danny Edwards berkata QPR mahu kanak-kanak itu memenuhi impian mereka menjadi pemain bola sepak pada masa depan.

"Apa yang kita cari...kita cuba memberi inspirasi kepada pemain muda. Kami mahu mereka mencapai impian masing-masing, berpeluang untuk bermain bola sepak dengan jurulatih Liga Perdana, bermain dengan pemain akademi.

"Sekarang mereka tahu kami sedang mencari seorang pemain untuk dibawa ke London, mereka sukar mempercayainya. Peluang ini bagi mereka sukar dipercayai.

Kami mencari seorang pemain terbaik," katanya. - Bernama

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.