2019 menjadi tahun mustahak kepada atlet paralimpik negara untuk mengumpul mata kelayakan bagi membolehkan mereka layak beraksi secara merit dalam Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Tahun hadapan adalah tahun yang sangat penting. Semua sukan yang kita berpeluang untuk layak ke Sukan Paralimpik Tokyo dan meraih pingat, kita perlu mencari mata kelayakan melalui kejohanan yang diiktiraf oleh IPC (Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa).

"Atlet perlu menyertai kejohanan ini untuk meningkatkan prestasi masing-masing, di samping mengumpul mata kelayakan dan kedudukan ranking dunia. Walaupun dengan kekangan dana, MSN (Majlis Sukan Negara) akan tetap menghantar atlet ke kejohanan yang diiktiraf IPC," kata Pengarah Bahagian Paralimpik MSN Mohd Safrushahar Yusoff ketika ditemui sejurus tiba dari Sukan Para Asia Jakarta di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang, semalam.

Katanya, MSN mengalu-alukan kerjasama dengan swasta atau individu dalam menaja perbelanjaan penyertaan atlet dalam lebih banyak kejohanan.

"Kami memerlukan lebih ramai pekongsi...agensi atau individu untuk turut sama membantu pembangunan sukan paralimpik di peringkat tertinggi.

"Peluang diberikan MSN dalam beberapa kejohanan yang wajib, rasanya boleh ditambah lagi dengan kerjasama pihak luar (yang akan bertindak sebagai rakan sukan). Saya melihat peluang yang cerah untuk atlet kita pergi lebih jauh jika mereka menyertai lebih banyak kejohanan antarabangsa," katanya.

Mengenai pencapaian Sukan Para Asia 2018 yang menutup tirainya pada Sabtu lalu, Mohd Safrushahar berkata, sasaran awal 15 pingat emas itu adalah satu cabaran yang sangat tinggi kepada kontinjen negara.

"Ia sasaran sangat getir dilaksanakan, bagaimanapun, syukur berkat pelan hala tuju dirancang sekian lama menghasilkan kejayaan.

"Sukan Para Asia kini sangat kompetitif, yang kebanyakan negara kini memberi penekanan kepada pembangunan sukan untuk atlet kelainan upaya. Dengan itu, Malaysia perlu lebih serius dalam aspek ini," katanya.

Menurut beliau, MSN mengenal pasti beberapa atlet sukan tertentu untuk membawa cabaran Malaysia di Tokyo 2020 melalui temasya empat tahun sekali itu.

Antara acara sukan yang dikenal pasti ialah olahraga, renang dan berbasikal.

Pada edisi ketiga temasya Sukan Para Asia Jakarta, kontinjen negara menamatkan saingan ditempat kelapan keseluruhan dengan membawa pulang 17 pingat emas, 26 perak dan 25 gangsa. - Bernama