PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) akan terus berusaha untuk mempersiapkan Akademi Badminton Malaysia sebagai sebuah pusat sehenti perkembangan sukan badminton negara, kata Presidennya Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria.

"Dalam mesyuarat pertama saya bersama Ahli Majlis BAM hari ini, isu mengenai perkembangan akademi ini turut dibincangkan.

"Adalah menjadi sasaran saya untuk meletakkan semua pemain-pemain kami di bawah satu bumbung pada Januari 2018. Bagaimanapun, ia suatu perkara yang bukan mudah," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis pelancaran Liga Badminton Remaja Kebangsaan BAM-AirAsia dan majlis sambutan Hari Raya BAM di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Norza, pihaknya kini sedang dalam proses untuk mengadakan memorandum persefahaman (MoU) dengan Kementerian Belia dan Sukan untuk mendapatkan bangunan akademi berkenaan.

"Kami perlu mendapatkan bangunan itu daripada KBS...proses untuk menandatangani MoU dengan KBS sedang diusahakan, kami sedang mencari tarikh yang sesuai untuk menandatangani MoU berkenaan," katanya.

Pembinaan akademi yang terletak di Bukit Kiara itu bermula pada 2014 dan mula digunakan pada Januari tahun ini.

Bagaimanapun, kemudahan yang disediakan yang meliputi 18 gelanggang badminton termasuk gimnasium, bilik persidangan, perpustakaan dan asrama, masih belum siap sepenuhnya lagi.

"Proses untuk membawa pemain-pemain muda kami ke sana (juga tidak mudah) ia melibatkan masalah persekolahan mereka. Kami (BAM) juga masih bincang dengan Kementerian Pelajaran untuk dapatkan kerjasama supaya pelajar-pelajar SSBJ (Sekolah Sukan Bukit Jalil) dipindahkan ke akademi dan membolehkan mereka bersekolah dalam akademi itu.

"Kami juga akan mendapatkan kerjasama daripada Majlis Sukan Negara khususnya dalam penyediaan makanan untuk pemain-pemain dan pengurusan tempat tinggal. Begitu juga dengan ISN untuk mewujudkan mini ISN dalam akademi itu. Akademi berkenaan mempunyai kemudahan gimnasium dan gelanggang penyelidikan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Norza juga memaklumkan bahawa BAM akan menubuhkan Yayasan Badminton Nasional.

"Permohonan telah pun dihantar ke Jabatan Perdana Menteri iaitu kepada Menteri yang bertanggungjawab, Datuk Seri Azalina Othmad Said pada 16 Jun lepas dan kami telah mendapat maklum balas yang perkara itu akan selesai tidak lama lagi. Antara dua hingga tiga bulan lagi yayasan itu akan direalisasikan," katanya.

Menurut Mohamad Norza, melalui yayasan berkenaan, dana yang ada akan digunakan untuk menguruskan akademi sedia ada dan akademi yang akan datang.

Selain daripada itu ia akan menyediakan biasiswa kepada pemain-pemain muda dan berkaliber, di samping itu turut menjaga kebajikan bekas-bekas pemain. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • DATUK Seri Mohamad Norza Zakaria mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Institut Sukan Negara (ISN) serta Presiden Persatuan Badminton Kuala Lumpur (KLBA) berkuat kuasa serta merta.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.