PEMANGKU Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid berkata, secara keseluruhan skuad negara telah mempamerkan prestasi yang memuaskan pada Kejohanan Seluruh England di Birmingham yang menutup tirainya Ahad lalu.

Menurut Mohamed Al-Amin, kejayaan Datuk Lee Chong Wei mengalahkan pemain muda dari China, Shi Yuqi 21-12, 21-10 dalam final perseorangan lelaki amat memberangsangkan biarpun pemain itu belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan.

Katanya, kemenangan di Seluruh England membuktikan Chong Wei berada dalam kelas tersendiri.

Kejayaan kali keempat pemain nombor satu dunia itu menyamai kejayaan yang diperolehi dua bekas pemain negara iaitu mendiang Wong Peng Soon dan mendiang Datuk Eddy Choong.

Mohamed Al-Amin turut memuji prestasi dipamerkan oleh gandingan beregu campuran, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying walaupun terkandas di pentas akhir.

“Ini prestasi terbaik yang mereka pamerkan selepas memenangi pingat perak di temasya Sukan Olimpik Rio tahun lepas. Berjaya melangkah ke final adalah satu kejayaan besar walaupun nasib tidak menyebelahi mereka dalam perlawanan yang berlangsung agak sengit,” katanya.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu menewaskan pasangan China, Lu Kai-Huang Yaqiong 21-18 pada set pertama sebelum kalah pada dua set seterusnya, 19-21 dan 16-21 dalam pertarungan selama sejam dan 26 minit.

Bagaimanapun, Mohamed Al-Amin berkata, prestasi beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong perlu diberi perhatian.

“Mereka turun sebagai pemain pilihan utama, bagaimanapun hanya sampai ke suku akhir. Saya akan meminta jurulatih supaya memberi perhatian kepada isu seperti ini. 

"Turun sebagai pemain pilihan utama kejohanan kadang-kadang akan menjejaskan permainan mereka dalam mana-mana kejohanan besar,” katanya.

Cabaran V Shem-Wee Kiong berakhir di peringkat suku akhir selepas tewas kepada Li Junhui-Liu Yuchen dari China 19-21, 21-17, 19-21.

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.