BEKAS Pengendali Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah menyambut baik hasrat Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) untuk menswastakan badan induk itu.

Menurutnya, tindakan itu sebagai langkah positif selaras dengan kemajuan bola sepak ke aras profesionalisme.

"Ia memang sesuatu yang positif. Sebagai kelab profesional, memang elok untuk diswastakan. Kalau kita tengok di Eropah, semua pasukan telah diswastakan.

"Jadi, melalui penswastaan ini, barulah bola sepak kita dapat berubah ke arah yang lebih maju dan pada masa sama kita dapat melihat sikap profesionalisme dalam pasukan itu.

"Tapi, untuk sampai ke tahap ini ia bukan mudah. Banyak prosedur perlu dilalui kerana ia harus dilengkapi dengan infrastruktur dan sebagainya.

"Apa pun saya harapkan usaha ini dapat direalisasikan KFA kerana ia memang sesuatu yang positif," katanya.

Dalam pada itu, Azraai turut menyokong penuh usaha dilakukan penaja utama KFA, Puan Sri Ginney Chew yang merupakan Pengarah ECK Development Sdn Bhd untuk mengadakan petisyen bagi membawa masuk Ramon Marcote bagi mengisi kekosongan kerusi ketua jurulatih yang ditinggalkan Muhd Nidzam Adzha.

Azraai berkata, tindakan itu merupakan satu tindakan yang positif dan proaktif daripada penaja utama itu yang sudi mendengar keluhan dan kemahuan penyokong Lang Merah.

"Kalau penaja sendiri ada usaha seperti itu, ia memang suatu perkembangan yang amat positif untuk pasukan.

"Kalau kita tengok penerimaan penyokong tu memang amat baik. Tak sampai 24 jam, dia sudah dapat menarik lebih 26 ribu likes.

"Ini menunjukkan sokongan penyokong memang sangat tinggi untuk mengharapkan Marcote kembali bersama Kedah," katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KEJAYAAN mendapatkan pengendali dari Sepanyol, Ramon Marcote diharapkan mampu menyuntik semangat Hijau Kuning untuk lebih berdaya saing menghadapi Liga Malaysia 2018.
  • HEBAT benarkah aura Ramon Marcote ini apabila namanya menjadi siulan sehingga seluruh pelusuk negeri Kedah termasuklah kedai kopi bawah pokok ketapang di Kodiang, Kedah.
  • KETUA pasukan Kedah, Khairul Helmi Johari sedia memberi kerjasama penuh kepada polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan menerima sogokan sebelum final Piala Malaysia 2017, awal bulan ini.
  • SEBANYAK 200 kuota bas bagi tiket berkumpulan untuk penyokong Kedah bagi final Piala Malaysia 2017 habis ditempah dalam masa sejam selepas dibuka pada jam 9 pagi tadi di Stadium Darul Aman.