JURULATIH berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah menjadi antara pilihan utama penyokong  Pulau Pinang untuk mengisi kerusi panas ditinggalkan pengendali dari England, Ashley Westwood yang ditamatkan kontrak oleh Persatuan Bola sepak Pulau Pinang (FAP), semalam, lapor WAN MOHD NOOR HAFIZ WAN MANSOR.

Bekas Ketua Jurulatih Kedah itu berkata, beliau berminat untuk membantu pasukan tersebut sekiranya khidmat diperlukan bagaimanapun tiada apa-apa perbincangan dengan Pulau Pinang setakat ini.

Pengalaman luas mengendali beberapa lagi pasukan seperti Harimau Muda A, Negeri Sembilan, Perak, T-Team dan Kelantan disifatkan oleh penyokong sebagai berkemampuan untuk menguruskan pasukan itu lebih-lebih lagi serasi di dalam mengendalikan pemain muda.

“Jika ada tawaran dari Pulau Pinang, saya akan pertimbangkan dan pertemuan perlu dilakukan terlebih dahulu namun setakat ini belum ada apa-apa perbincangan lagi.

"Beberapa pemain dalam pasukan itu antaranya Rafiuddin Rodin, Failee Ghazali, Yong Kuong Yong, Mohd Azrul Ahmad pernah bermain di bawah saya dan saya fikir pasukan ini masih boleh diselamatkan daripada tersingkir ke Liga Perdana musim hadapan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, nama bekas pemain import Pulau Pinang, Merzagua Abderrazak juga kembali hangat diperkatakan oleh penyokong Harimau Kumbang berkenaan.

Merzagua beraksi pada zaman kegemilangan Harimau Kumbang pada penghujung 90-an dan kembali sebagai jurulatih membantu mereka muncul juara Piala FAM 2013.

Namun jurulatih kelahiran Maghribi ini terpaksa mengosongkan jawatan kerana tidak memiliki Lesen jurulatih A untuk mengendalikan pasukan di saingan Liga Perdana 2014.

Selain itu, beberapa nama lain juga turut disebut-sebut antaranya bekas pengendali Kebangsaan, Datuk K Rajagobal, bekas pengendali Selangor, Zainal Abidin Hassan dan bekas pengendali pasukan itu pada 2014, K Devan.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KETUA Jurulatih pasukan Liga Super Pulau Pinang, Ashley Westwood melepaskan jawatan panas yang disandangnya itu berkuatkuasa serta merta hasil perbincangan dengan Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP).
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.