PELUMBA Malaysia, Azlan Shah Kamaruzaman dilihat mempunyai kelebihan apabila beberapa pelumba handalan termasuk pendahulu keseluruhan SuperSports 600cc, Anthony West tidak beraksi pada pusingan kedua Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang berlangsung di The Bend Motorsport Park, Australia, Jumaat hingga Ahad ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu ketika ini berada di kedudukan kedua keseluruhan ketika ini dengan 32 mata, 13 mata di belakang West namun pelumba Australia itu tidak beraksi di halaman sendiri pada minggu ini kerana terlibat dengan Kejuaraan SuperSports Dunia.

Pelumba di kedudukan ketiga, Thitipong Warokorn pula hanya beraksi atas tiket wildcard sewaktu perlumbaan pusingan pertama di Thailand manakala juara keseluruhan 2016, Mohd Zaqhwan Zaidi juga tidak beraksi di Australia bagi memberi tumpuan perlumbaan Kejuaraan Seluruh Jepun minggu ini.

“Di atas kertas, memang saya nampak mempunyai kelebihan, tetapi minggu ini baru masuk pusingan kedua dan masih ada baki banyak perlumbaan lagi. Jadi saya tidak melihat ia sebagai satu kelebihan sebaliknya lebih menumpukan kepada prestasi sendiri.

“Cuma yang penting saya perlu menggunakan peluang ini untuk mengumpul mata maksimum sebagai bekalan penting untuk pusingan-pusingan akan datang. Meskipun mereka tiada, namun cabaran hebat pasti datang dari pelumba Thailand dan juga rakan sepasukan saya sendiri serta pelumba wildcard tuan rumah,” jelas juara bertahan SuperSports 600cc itu

Mengulas tentang cabaran di litar baharu yang pertama kali berada dalam calendar ARRC, Azlan berkata, “Saya difahamkan litar ini baru siap manakala cuaca juga mungkin agak sejuk. Kami perlu mengumpul data dan mendapatkan pelarasan terbaik secepat mungkin. Sesi pada hari pertama sangat penting buat pasukan.

“Laluan lurus yang panjang dan litar ‘high speed’ mungkin memberi sedikit kelebihan kepada jentera Kawasaki. Saya berharap semuanya akan berjalan lancar nanti.” ujarnya lagi.