"AZIZULHASNI sokmo (sering) kata, dia nak menang dan saya sentiasa mendoakan beliau mendapat gelaran yang diimpikannya itu," kata Awang Muda Embong.

Awang Muda berkata beliau pada mulanya tidak menyangka anaknya, Mohd Azizulhasni akan muncul juara dunia pada kejohanan yang berlangsung di Hong Kong, semalam, kerana dia mendapat tentangan sengit daripada pelumba lain.

"Saya tidak menyangka Azizul akan menang sebab sebelum itu, dia tertinggal di belakang. Sedar-sedar, dia pecut terus (ke garisan penamat).

"Saya berbangga dengan pencapaian Azizulhasni semalam, apatah lagi ia memang ditunggu-tunggu olehnya sejak 10 tahun lalu," kata Awang Muda ketika ditemui di rumahnya di Jalan Nibung Stesen di sini, hari ini.

Mohd Azizulhasni, yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman', menampilkan kayuhan bertenaga untuk meraih pingat emas pertama Malaysia pada Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong, semalam.

Pelumba Colombia, Fabian Hernando Puerta Zapata memenangi pingat perak, manakala gangsa milik Tomas Babek dari Republik Czech.

Awang Muda berkata meskipun Azizulhasni jarang pulang ke kampung kerana sibuk menjalani latihan di luar negara, anaknya itu tidak pernah lupa menghubungi beliau dan keluarga setiap kali menyertai kejohanan.

"Sebelum berlumba semalam pun, dia telefon mohon restu dan minta saya mendoakan kejayaannya. Alhamdulillah, doa saya dan harapannya untuk bergelar juara dunia dimakbulkan.

"Saya juga sangat bangga apabila Azizulhasni melakar kejayaan sebagai anak Malaysia pertama merangkul gelaran Raja Keirin Dunia," katanya. - Bernama
 

www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.