JAGUH trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang diberi penghargaan mencuba Velodrom Nasional dan trek berbasikal BMX di Nilai, Negeri Sembilan pada minggu depan sebelum venue itu digunakan untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur dan Para Asean.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata pemilihan itu sekali gus menjadikan Azizulhasni sebagai atlet berbasikal pertama yang akan mencuba trek berkenaan sebelum majlis penyerahan velodrom itu akhir bulan ini.

"Azizulhasni akan balik ke Malaysia malam ini dan saya sudah minta beliau mencuba trek itu minggu depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program KL2017@Sekolah di Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr. Ismail  (2) , di sini hari ini.

Velodrom Nasional Nilai yang mula dibina pada Januari 2015 dengan kos RM80 juta dikendalikan Jabatan Kerja Raya.

Azizulhasni yang terkenal dengan jolokan 'The Pocket Rocketman' baru-baru ini muncul juara dunia bagi acara keirin Kejohanan Berbasikal Trek Dunia UCI di Hong Kong.

Terdahulu pada majlis itu, Khairy membuat kejutan dengan memakai maskot 'Rimau' Sukan SEA  sebelum merasmikan program hari sukan sekolah itu.

Khairy berkata gimik itu merupakan satu daripada inisiatif untuk merancakkan semangat kesukanan golongan remaja  khususnya dalam menghadapi Sukan SEA yang akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos dan Sukan Para Asean pada 17 hingga 23 Sept.

"Momentum sambutan untuk temasya ini, kita perlu bina sedikit demi sedikit agar menjadi klimaks pada Ogos ini. Saya terfikir idea itu (gimik) untuk acara tertentu yang mana saya sendiri menjadi Rimau dan sekurang-kurangnya saya faham pengorbanan yang perlu dilalui oleh mereka yang menjadi maskot Rimau," katanya. 

Dalam perkembangan lain, Khairy berkata Jawatankuasa Pengelola Sukan SEA (Masoc) sudah mencapai 80 peratus daripada sasaran penajaan RM30 juta dalam bentuk wang tunai. 

"Semua penajaan berjalan lancar, cuma kami kekurangan sedikit wang tunai. Dalam masa terdekat saya perlu mendapatkan satu atau dua lagi penajaan besar, saya berharap kami berjaya mendapatkannya. Secara keseluruhan jumlah tajaan wang tunai dan perkhidmatan serta barangan sudah mencapai 90 peratus," katanya. –Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SKUAD muda negara diminta mengekalkan disiplin sehingga tiupan wisel penamat pada perlawanan suku akhir menentang Korea Selatan pada Kejuaraan Konfederasi Bola Sepak Asia Bawah 23 (AFC B-23) 2018, esok.
  • MENTERI Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menjelaskan sebab utama kontrak ketua jurulatih terjun negara, Yang Zhuliang tidak dilanjutkan adalah kerana wujudnya satu ‘budaya dan persekitaran ketakutan’ dalam kalangan sebahagian atlet terjun negara.
  • KENYATAAN penuh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berhubung keputusan tidak melanjutkan kontrak Yang Zhuliang.
  • PUTRAJAYA - Pindaan kepada Akta Pembangunan Sukan 1997 bagi mengetatkan lagi kawal selia penganjuran acara-acara sukan akan dibentangkan oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam sidang Parlimen akan datang.
  • MENTERI Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hari ini mengumumkan angkat berat, sepak takraw dan taekwondo digugurkan daripada senarai sukan teras negara berikutan prestasi buruk serta tidak menunjukkan sebarang peningkatan.