KETUA Kontinjen negara ke Sukan Asia, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berharap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan barisan menteri Kabinet dapat menyertai majlis penyerahan bendera kepada atlet negara ke temasya tersebut.

Beliau berkata kehadiran Perdana Menteri dan barisan menteri itu, dapat meningkatkan semangat atlet yang bakal berjuang demi nama negara di temasya kedua paling besar di dunia itu yang akan berlangsung dari 18 Ogos hingga 2 September di Jakarta dan Palembang, Indonesia.

“Tarikh yang disarankan untuk penyerahan bendera adalah sama ada pada 7 atau 8 Ogos...Kami akan serahkan cadangan kepada pejabat Menteri (Belia dan Sukan) untuk mendapat keputusan daripada Menteri (Syed Saddiq Syed Abdul Rahman).

“Pada 8 Ogos merupakan hari mesyuarat Jemaah Menteri, jadi kami mungkin boleh buat di tempat mesyuarat itu, jika 7 Ogos mungkin boleh diadakan di kawasan berdekatan Parlimen. Kalau boleh sebagai satu pembaharuan, kami nak seluruh barisan kabinet datang beri semangat, kerana selalunya hanya Menteri Belia dan Sukan yang hadir,” katanya yang juga merupakan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Abdul Azim berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat penyelarasan Sekretariat Sukan Asia antara MOM, Institut Sukan Negara (ISN) dan Majlis Sukan Negara (MSN) di ISN di sini, hari ini.

Sementara itu, Abdul Azim yakin Jawatankuasa Penganjur Sukan Asia Indonesia (INASGOC) dan Majlis Olimpik Asia (OCA) dapat memberikan jaminan keselamatan kepada para atlet negara di Indonesia.

“Kami tak rasa masalah keselamatan akan jadi sesuatu yang menggugat atlet-atlet kita,” katanya.

Pada Ogos tahun lepas, Malaysia menerima kritikan daripada para netizen Indonesia berikutan beberapa isu melibatkan penganjuran Sukan SEA 2017 di sini, termasuk insiden cetakan bendera Indonesia secara terbalik pada buku cenderahati temasya itu.

Ditanya mengenai sasaran pingat ke temasya empat tahun sekali itu, Abdul Azim berkata beliau memerlukan masa sehingga satu atau dua minggu untuk bertemu semua persatuan sukan yang terlibat sebelum menetapkan sasaran yang realistik.

“Selepas itu, saya akan mengadakan perbincangan dengan MOM, ISN dan MSN sebelum bentangkan sasaran yang realistik kepada menteri dan beliau akan mengumumkan sasaran kita,” katanya. - Bernama