MENTERI Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyeru semua rakyat Malaysia agar bangkit bersama dan menyokong atlet tempatan yang akan bertanding dalam temasya Sukan Sea ke-29 dan Sukan Para Asean ke-9 nanti.

Salleh berkata, 2017 menandakan satu kejayaan penting dalam sejarah Malaysia apabila kedua-dua sukan itu diadakan bertepatan dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-60 pada 31 Ogos dan Hari Malaysia pada 16 September.

“Kali terakhir kita menjadi tuan rumah Sukan Sea ialah pada 2001 dan kita muncul sebagai juara keseluruhan dengan 111 pingat emas. Kini, setelah 16 tahun, negara kita sekali lagi menjadi hos kepada acara sukan terbesar di Asia Tenggara.

“Dengan semangat Merdeka, marilah kita ‘Bangkit Bersama’ dan menyokong wira atlet sukan tempatan  yang akan memberikan yang terbaik ketika mewakili negara,” katanya dalam catatan terbaru dalam blog beliau sskeruak.blogspot.my bertajuk ‘Rising Together in Unity’ hari ini.

Sukan Sea ke-29 akan berlangsung pada 19 hingga 30 Ogos ini manakala Sukan Para Asean membuka tirai dari 17 hingga 23 Sept. Ini merupakan kali keenam Malaysia menganjurkan Sukan Sea dwitahunan itu.

Kedua-dua temasya sukan itu juga pertama kali diadakan selepas penggubalan Komuniti Asean semasa Malaysia menjadi pengerusi pada 2015.

Berkongsi keterujaan beliau untuk kedua-dua sukan itu, Salleh yakin bahawa rakyat Malaysia yang patriotik akan sekali lagi dapat mengetepikan perbezaan mereka bagi meraikan dan bersorak untuk kontinjen negara.

Beliau berkata, sukan Malaysia memperlihatkan prestasi turun naiknya, tetapi keseronokan dan kegembiraannya tidak pernah hilang.

“Tahniah kepada semua jurulatih dan atlet negara yang berdedikasi dan telah bekerja keras serta banyak berkorban untuk sampai ke tahap sekarang.

“Kepada semua rakyat Malaysia, marilah kita bersatu dan bangkit bersama semasa peristiwa penting ini,” tambahnya.- Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PEMENANG pingat emas acara lompat kijang Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Muhammad Hakimi Ismail sah beraksi di Kejohanan Olahraga Dunia Dalam Dewan 2018 di Birmingham, England, bermula 1-4 Mac tahun depan.
  • SEORANG atlet negara yang memenangi pingat emas pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) pada Ogos lalu dipercayai adalah antara tiga atlet yang gagal ujian doping.
  • PEMAIN tenis kerusi roda negara, Abu Samah Borhan yakin dapat memecah dominasi Thailand bagi kategori terbuka lelaki dalam Sukan Para Asean Kuala Lumpur 2017 (Para KL2017).
  • SKUAD olahraga paralimpik menyasarkan 40 pingat emas daripada 133 acara yang dipertandingkan pada Sukan Para Asean ke-9 yang membuka tirainya bermula 17hingga 23 Sept ini.
  • SKUAD angkat berat negara menutup gelanggang temasya Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017) hari ini dengan menghadiahkan pingat perak melalui kategori 85 kilogram (kg) oleh Mohamad Fazrul Azrie Mohdad.